suria

Bantah Bukan Sekadar Bantah

Marina Mahathir
RAKYAT Malaysia telah membuktikan sesuatu yang sangat berharga pada 29 Ogos yang lalu - yakni mereka dapat berhimpun beramai-ramai dengan aman demi satu matlamat yang sama.

Hal ini membuktikan bahawa sesiapa yang mendakwa bahawa perhimpunan yang berjumlah lebih daripada lima orang akan membawa kepada kekecohan serta keganasan adalah mitos semata-mata.

Bersih 4 telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat berhimpun dalam satu jumlah yang besar dengan aman dan teratur. Mereka mematuhi arahan agar tidak merempuh halangan mahupun sekatan di Dataran Merdeka bahkan mereka juga membersihkan kawasan sekitar selepas berhimpun.

Sewaktu berarak, mereka meluahkan perasaan terhadap isu-isu semasa melalui poster-poster, berucap dan mendengar ucapan yang dilakukan, menyanyi, berkhemah dan makan bersama-sama. Semua ini dilakukan dalam suasana yang aman diiringi dengan ikatan persahabatan yang wujud antara satu sama lain.

Kali ini, saya tidak berpeluang untuk bersama-sama berhimpun dengan masyarakat di negara ini tetapi saya berkesempatan untuk berhimpun bersama seribu warga Malaysia yang menetap di London demi satu matlamat yang sama.

Kami bermula di hadapan bangunan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang menyaksikan para peserta mengangkat plakad dan mendengar beberapa ucapan yang diberikan, menyambut kehadiran pegawai-pegawai Pesuruhjaya Tinggi dengan lambaian tangan dan kemudian berjalan ke Whitehall di mana kami berhenti berhampiran Downing Street.

Kami berhenti di Trafalgar Square sambil menyanyikan lagu 'NegaraKu' saat hujan mula membasahi bumi.

Sepanjang perarakan tersebut, hanya dua orang anggota polis yang mengawasi kami dan ini membuktikan bahawa kehadiran anggota polis dalam jumlah yang besar tidak diperlukan untuk mengawasi tingkah laku kami sewaktu berhimpun.

Tiada sebarang insiden buruk berlaku ketika rakyat Malaysia berhimpun atas nama Bersih di sekitar 40 buah kota di seluruh dunia.


Ini membuktikan bahawa keganasan yang berlaku sewaktu berhimpun adalah disebabkan penggunaan gas pemedih mata mahupun penyembur air dan bukannya disebabkan oleh tingkah laku peserta perarakan.

Dalam hal ini, kita harus memuji pihak polis yang menyedari fakta tersebut dalam perhimpunan kali ini.

Saya sentiasa menyokong kebebasan bersuara dan saya tidak akan menghalang sesiapa daripada mengekspresikan pendapat mereka walaupun seteruk mana pendapat itu diluahkan.

Cuma, saya menghadapi masalah untuk memahami pendirian kumpulan Baju Merah. Mereka membantah hanya semata-mata untuk membantah peserta Bersih 4. Kita tidak mempunyai masalah untuk memahami isu-isu yang diketengahkan oleh Bersih tetapi kita tidak mengetahui akan apa matlamat perjuangan Baju Merah ini.

Memandangkan himpunan Baju Merah ini adalah anti-Bersih maka saya mengandaikan bahawa mereka mahu menentang apa sahaja yang diperjuangkan oleh 200,000 peserta Bersih. Mari kita lihat apakah matlamat-matlamat tersebut:



> Bersih mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Justeru, saya fikir Baju Merah mahukan pilihan raya yang tidak bersih dan berat sebelah memandangkan itulah satu-satunya cara untuk mereka terus memegang tampuk pentadbiran. Jika mereka fasih berbahasa Inggeris, saya cadangkan ‘’Stack the Deck’’ sebagai slogan kumpulan ini.( dalam peribahasa Melayu, ia dipanggil ‘’Biar menyeludup ke bawah rumah, asal mendapat telur ayam).

> Kedua, Bersih 4 menuntut kewujudan sebuah kerajaan yang bersih. Maka, ini bererti Baju Merah menuntut kewujudan sebuah kerajaan yang korup di mana duit adalah penentu siapa yang mentadbir, menggubal dasar dan undang-undang negara ini. Saya tertanya-tanya berapa ramai baju Merah yang menganggap suara mereka diambil kira dalam menggubal dasar-dasar kerajaan sekiranya ada antara mereka yang bergelar jutawan. Tetapi jutawan tidak memerlukan BR1M bukan?

> Bercakap soal jutawan dan BR1M, maka tuntutan ketiga Bersih 4 ialah tindakan menyelamatkan ekonomi kita. Memandangkan nilai matawang ringgit kita sudah jatuh ke satu tahap yang tidak pernah dialami sebelum ini dan rakyat sedang dibebani dengan kenaikan harga barang, sudah tentu kita memerlukan satu langkah yang konkrit untuk memastikan kita tidak terperosok ke status negara mundur.

> Memandangkan Baju Merah berselisih pendapat dengan Bersih, justeru saya menganggap mereka tidak kisah jika negara kita berada di kelompok negara-negara termiskin di dunia. Mungkin mereka berharap jika hal ini berlaku, dapatlah mereka berhijrah ke luar negara untuk mencari sesuap nasi seperti yang dilakukan oleh negara-negara jiran.

> Tuntutan keempat Bersih ialah hak untuk membantah. Hal ini merangkumi hak untuk tidak bersetuju secara terhormat dengan sesiapa termasuklah pihak kerajaan. Memandangkan Baju Merah sudah menggunapakai hak untuk tidak bersetuju dengan Bersih, seharusnya mereka tidak mempunyai masalah dengan tuntutan ini. Tetapi, saya fikir hak untuk membantah bererti penggunaan lebih daripada satu perkataan - 'bodoh’- untuk melabelkan sesiapa yang anda tidak suka.

Tanggal 16 September seharusnya meraikan kepelbagaian dalam perpaduan di negara ini. 
Saya tidak pasti bagaimana kumpulan ini mempunyai tujuan untuk mengekspresikan kepelbagaian memandangkan mereka terdiri daripada satu kaum dan satu gender.

Saya yakin bahawa perpaduan dengan cara sebegini tidak mampu memberi sebarang makna yang besar di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PasMa Sokong Pakatan Harapan

Artikel Lain