suria

'Low Yat 2' Terima Bukan Melayu - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR: Pusat elektronik Low Yat 2 yang dicadangkan akan dibuka kepada orang bukan Melayu jika terdapat permohonan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada kaum bumiputera untuk membuka kedai-kedai mereka di tingkat tiga bangunan Mara, Jalan Raja Laut.

Setakat ini, semua permohonan untuk 30 ruang perniagaan adalah daripada peniaga bumiputera.

"Keutamaan akan diberikan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera, jika ada penyertaan bukan Bumiputera kita akan mempertimbangkannya," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Mara di sini, Isnin.

Ismail turut melawat tingkat tiga bangunan ibu pejabat Mara yang akan dijadikan pusat IT, hampir sama dengan Plaza Low Yat di Bukit Bintang.

Beliau berkata kerja-kerja pengubahsuaian akan bermula pada Selasa dan dijangka siap pada bulan November.

"Kita berhasrat untuk membuka pusat itu menjelang akhir tahun," katanya sambil menambah tiga operator telekomunikasi juga telah menunjukkan minat untuk mengambil ruang perniagaan.

Beliau berkata pertandingan sedang dijalankan untuk memberikan nama dan logo pusat itu. Tarikh tutup permohonan ialah pada 30 September

"Setakat ini, kami telah menerima 3,000 penyertaan. Pemenang akan menerima RM5,000," katanya.

Ismail telah mencetuskan idea "Low Yat 2" berikutan pergaduhan kaum yang berlaku di Plaza Low Yat pada Julailalu.

Katanya, beliau menyasarkan "100 peratus peniaga Melayu" tetapi tentang pembekal, ia akan dilonggarkan kerana tiada seorang pun di kalangan mereka adalah orang Melayu.

Cadangan beliau mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang berhujah bahawa ia akan menyebabkan polarisasi kaum.

Artikel Berikut

Artikel Lain