suria

Tabung Haji Kini Fokus Persiapan Jemaah Untuk Hari Wukuf

MAKKAH: Tabung Haji (TH) kini memfokuskan kepada persiapan operasi masyair untuk jemaah Malaysia meliputi aspek pengurusan, logistik, perubatan dan ibadat, menjelang lima hari lagi untuk berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah atau 23 September ini.

Jemaah haji Malaysia turut diberikan sokongan moral dan kaunseling agar mereka kembali fokus untuk pelaksanaan ibadat haji selepas berlakunya tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas yang mengorbankan lebih 100 jemaah termasuk lima jemaah dari Malaysia setakat ini.

Pengurus Ibadat TH Shahrul Azam Noorzeli berkata TH mengadakan enam siri ceramah dan dua siri taklimat berkenaan operasi masyair di maktab-maktab penginapan mereka.

"Ceramah dan taklimat yang diberikan lebih kepada sesi ulangkaji, jemaah telah pun diberikan taklimat serupa semasa sebelum ke Tanah Suci. Ceramah dan taklimat masyair ini diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman mereka dan lebih bersedia dan tabah untuk menjalani ibadat haji nanti," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Ahmad Faudzi Yusoff berkata jemaah haji diminta menekankan penjagaan kesihatan mereka menjelangnya hari wukuf nanti, dengan mengurangkan aktiviti luar, selain meminum air yang banyak berikutan cuaca panas di Tanah Suci ketika ini yang melebihi 40 darjah celsius.

"Pusat rawatan Tabung Haji di Syisya dan pusat-pusat kecemasan TH di maktab-maktab penginapan beroperasi 24 jam bagi merawat jemaah yang tidak sihat. Kami juga sediakan perkhidmatan ambulans untuk menghantar jemaah haji yang memerlukan rawatanlanjut ke hospital kerajaan Arab Saudi," katanya.

Berkenaan operasi masyair, beliau berkata pihaknya juga menyediakan perkhidmatan ambulans untuk membawa jemaah haji Malaysia yang sakit untuk berwukuf nanti.

"Sekiranya pada hari wukuf nanti, terdapat jemaah haji yang sakit, kita akan membawa mereka untuk berwukuf di Arafah.

Pegawai ibadat Tabung Haji juga akan bersama pesakit bagi memberikan penerangan berkenaan pelaksanaan ibadat itu," katanya.

Sementara itu Pengurus Maktab 86, Mustafa Kamal Abdul Latif berkata setiap maktab kini mula memberikan taklimat berkenaan operasi masyair.

"Ceramah dan taklimat sedemikian akan lebih mudah dan berfokus. Jemaah diminta mengikuti garis panduan yang ditetapkan meliputi jadual pergerakan bas mereka ke Arafah, taklimat berkenaan penginapan mereka semasa wukuf, barangan yang perlu dibawa dan persiapan barangan peribadi yang perlu," katanya.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman sebelum ini memaklumkan bahawa jemaah haji Malaysia dijadual memasuki Arafah pada 8 Zulhijjah dengan menggunakan bas.

"Jemaah haji akan berada di Arafah sehingga 9 Zulhijjah (pada malam 9 Zulhijjah), jemaah akan bergerak ke Muzdalifah. Pada 10,11 dan 12 Zulhijjah, jemaah akan berada di Mina untuk ibadat melontar," katanya.

Lebih 2,000 khemah telah dipasang di Arafah bagi menempatkan lebih 22,000 jemaah haji Malaysia dan setiap khemah akan menempatkan 12 jemaah haji. - BERNAMA

hari wukuf, Tabung Haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain