suria

Pembenihan Awan Dijangka Dilakukan Esok - Met Malaysia

Julai lalu, masalah jerebu menyebabkan operasi pembenihan awan dilakukan kakitangan Lembaga Air Kuching dan Jabatan Kerja Raya Sarawak yang membuat campuran air bergaram sebelum diangkut oleh pesawat Hercules C-130 di Pangkalan Udara TUDM Kuching.

KUALA LUMPUR: Pembenihan awan dijangka mulai Selasa meliputi Lembah Klang dan Sarawak, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Bagaimanapun, ini bergantung kepada keadaan jerebu pada lewat petang ini yang mungkin pulih disebabkan perubahan tiupan angin yang lebih kuat," kata  pegawai meteorologi kanan, Pusat Cuaca Nasional, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Tegasnya jabatan itu bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan untuk mengurangkan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Bakar Arang di Sungai Petani, Kedah, ialah kawasan terbaharu mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, dengan merekodkan bacaan 112 pukul 2 petang ini.

Banting, Selangor, kekal mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 171 diikuti Pelabuhan Klang (164), Shah Alam (149), Petaling Jaya dan Kuala Selangor (145).

Di Sarawak, Sri Aman mencatat bacaan 138, Sarikei 122 dan Semarahan (111).

Muar dan Larkin Lama di Johor merokodkan bacaan 128 dan 101.

Di Negeri Sembilan, Nilai mencatat bacaan 169, Seremban 167 dan Port Dickson 160 manakala di Melaka, Bukit Rambai merokodkan becaan 158 dan Bandaraya Melaka 141.

Di ibu negara, kawasan yang mencatat IPU tidak sihat ialah Batu Muda (163), Cheras (152) dan Putrajaya (156).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Pulau Pinang, Seberang Jaya 2 (Perai) (128) dan USM (129) dan di Kedah , Bakar Arang (Sungai Petani) (112).

Di Perak pula, kawasan tidak sihat ialah Seri Manjung (159), SK Jalan Pegoh (Ipoh) (148), Jalan Tasek (Ipoh) (138)dan Kampung Air Putih (119).

Di Pahang, tiga kawasan catat IPU tidak sihat - Balok Baru (Kuantan) (121), Indera Mahkota (Kuantan) (107) dan Jerantut (114), dan di Terenggany. Kemaman (126) dan Paka (102).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. --Bernama

Artikel Lain