suria

Ketua Pemuda Umno Rasah Elak Jawab Status Bankrap

Hassan Yop.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah, Hassan Yop mengelak daripada memberikan jawapan mengenai dakwaan beliau diisytiharkan muflis.

“Tak apalah, no komen ya. Maaf,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online pada Ahad.

Sebaliknya, beliau meminta supaya persoalan itu diajukan kepada pihak yang menyampaikan maklumat berkenaan.

“Tanyalah orang yang beritahu itu. Maaf ya,” ujarnya ringkas tanpa mengulas lanjut.

Pada Sabtu lalu, mStar Online melaporkan Pemuda Umno Bahagian Rasah hadir ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya pada Jumaat lalu bagi memohon penjelasan berhubung status ketua sayap bahagian itu yang didakwa muflis.

Status tersebut dikesan pada 24 Ogos lalu menerusi satu notis kebankrapan yang disiarkan sebuah akhbar.

Syed Zaki (dua, kiri) memegang surat memohon penjelasan status Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah, Hassan Yop di ibu pejabat ROS, Putrajaya pada Jumaat lalu. Turut serta dua AJK, Azizan Omar (kiri) dan Nizak Ali Fakir Mohamad (kanan) serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Seremban Jaya Selatan, Mohamad Zuraidi Samarudin (dua, kanan).

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Rasah, Syed Zaki Al’Atas berkata, peruntukan Akta Pertubuhan menjelaskan bahawa sesiapa yang diisytiharkan muflis akan hilang kelayakan memegang semua jawatan dalam pertubuhan.

“Ia (status kebankrapan) sudah tentu memberi kesan kepada status mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian sebelum ini. Mesyuarat mungkin terbatal dan semuanya akan terganggu dan menyusahkan semua orang,” katanya.

Menurut Syed Zaki, pihaknya telah menghantar surat memohon penjelasan kepada pejabat Pemuda Umno Bahagian Rasah dan diterima pada Isnin lalu, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang penjelasan berhubung perkara itu.


Bagaimanapun menerusi maklum balas surat tuntutan yang sama dihantar kepada Pemuda Umno Pusat, perkara itu telah dipanjangkan kepada Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof pada Isnin lalu bagi mendapatkan pengesahan berkenaan status tersebut berdasarkan perlembagaan parti dan peraturan Pemuda Umno.

Dalam pada itu, Syed Zaki turut meminta supaya Hassan sendiri tampil memperjelaskan kedudukan sebenarnya di peringkat akar umbi.

“Kita mahu dia perjelaskan kedudukannya sendiri dengan mengambil kira etika, profesionalisme dan tanggungjawabnya. Kita hendak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain