suria

Perniagaan Petaling Street Ditutup Pada 16 September

KUALA LUMPUR: Sebanyak 773 penjaja dan 500 pekedai di Petaling Street bersetuju untuk menghentikan perniagaan selama sehari pada 16 September ini bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini ekoran Himpunan Rakyat Bersatu yang dikatakan bakal diadakan di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee Jp berkata keputusan itu dilakukan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada 5 Sept lepas.

"Sebanyak 90 peratus peniaga di sini telah mengambil keputusan untuk menutup perniagaan pada hari berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita pada program 'walkabout' anjuran NGO bersama ketua komuniti dan peniaga di Petaling Street, Ahad.

Beliau juga berharap pihak penganjur membatalkan perhimpunan berkenaan kerana banyak perniagaan di kawasan terlibat akan terjejas kerana terpaksa ditutup sepanjang hari.

Beliau berkata perhimpunan yang bercorak perkauman itu tidak bersesuaian dengan Hari Malaysia yang sepatutnya disambut dengan penuh semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat majmuk.

Lebih 50 wakil daripada 20 NGO menyertai program berkenaan untuk beramah mesra dengan peniaga serta penduduk di kawasan terbabit.

Program tersebut turut dihadiri Presiden Pro-Rakyat Khairul Anwar Othman, anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan beberapa NGO seperti Otai Reformis, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA), Jingga 13, dan Pertubuhan Prihatin Selangor.

Khairul berkata, 2,000 anggotanya bersama-sama 500 anggota Otai Reformisakan 'berkampung' di sekitar kawasan antara lain Petaling Street dan Bukit Bintang dari pagi sehingga 12 tengah malam pada hari berkenaan.

"Kami sebagai orang Islam, juga orang Melayu dan rakyat Malaysia, ingin beri jaminan kami takkan biarkan rakyat Malaysia tidak kira bangsa diapa-apakan," katanya.

Perhimpunan Rakyat Bersatu atau lebih dikenali sebagai Perhimpunan Baju Merah dirancang diadakan pada 16 Sept ini di ibu negara.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Tan Sri Mohd Ali Rustam selaku penganjur perhimpunan, dalam sidang medianya pada Sabtu menegaskan pihaknya akan mengadakan perhimpunan di Padang Merbok sekiranya dibenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan bukan di Bukit Bintang atau di Petaling Street.

Artikel Sebelum

Lima Jemaah Masih Dirawat - TH

Artikel Lain