suria

Seorang Mati, Tiga Cedera Dalam Kebakaran Gudang Kilang Kimia

SHAH ALAM: Seorang terbunuh manakala tiga lagi melecur teruk dalam kebakaran gudang sebuah kilang kimia di Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini kira-kira pukul 5 petang Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat pengurus gudang berkenaan, Neo Khoon Seng, 55, dijumpai pada kira-kira 10.30 pagi tadi di bawah runtuhan sisa bangunan.

"Tiga lagi mangsa yang melecur teruk telah kita ditemui malam semalam dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama disini, Sabtu.

Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera merupakan pekerja gudang berkenaan.

Mohd Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.21 petang semalam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

"Bomba dapat mengawal api sepenuhnya pada kira-kira pukul 6.30 petang," katanya.

Menurut Mohd Sani, gudang berkenaan menyimpan beberapa jenis cecair bahan kimia yang mudah terbakar antaranya nitrocellulose UN 2556, afcona resin solution UN 1866, printing ink UN 1210 dan ethanol/alcohol UN 1170.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain