suria

Usaha Mencari Jemaah Hilang Giat Dilakukan

MAKKAH: Tabung Haji kini giat melakukan usaha mengesan lapan jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang sejak Jumaat, selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sejak semalam, petugas TH melakukan pemeriksaan bilik ke bilik di semua enam bangunan yang menempatkan jemaah haji Malaysia.

"Selain pemeriksaan bilik ke bilik, pemeriksaan juga dilakukan di hospital-hospital Arab Saudi, sekiranya terdapat jemaah haji (yang cedera) yang telah dibawa ke sana selepas kejadian itu," katanya di sini.

Beliau berkata pasukan TH yang terdiri daripada unit peronda, perubatan dan kebajikan turut melakukan rondaan di sekitar kawasan Masjidil Haram, bagi mengesan mereka terbabit.

Setakat ini, 10 jemaah haji disahkan cedera dalam kejadian itu.

Kejadian yang dikaitkan dengan cuaca buruk yang melanda Tanah Suci itu dilapor mengorbankan sekurang-kurangnya 107 nyawa dan mencederakan 238 yang lain.

Jemaah yang masih belum dapat dikesan ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (berasal dari Tanah Merah, Kelantan); Shahidan Saad, 52 (Kodiang, Kedah), Rohana Ismail, 54 (Kuala Krai, Kelantan), Abdul Habib Lahman, 68 (Sik, Kedah), Zainun Taha, 69 (Ampang, Selangor) dan Munah Jusoh, 73 (Cherang Ruku, Kelantan).-- Bernama

Tabung Haji, Masjidil Haram

Artikel Lain