suria

Polis Pertingkat Kawalan Keselamatan Susulan Ancaman IS

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mengambil tindakan mempertingkatkan keselamatan di semua tempat yang berkepentingan kepada negara.

Ia susulan seruan kumpulan militan Islamic State (IS) agar pengikutnya melakukan serangan ke atas beberapa negara termasuk Malaysia di dalam majalah Dabiq yang disebarkan di media dalam talian.

Penolong Pengarah (E8) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sedia maklum mengenai seruan itu.

"Kita tingkatkan tahap keselamatan termasuk di kedutaan-kedutaan asing dan juga tempat-tempat yang menjadi kunjungan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Pada Jumaat, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga dilaporkan mengarahkan kedutaan negaranya memperketat kawalan keselamatan selepas militan IS dilaporkan mengarah pengikutnya untuk menyerang warga Jepun yang berada di Malaysia, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Jepun di Malaysia berkata Tokyo telah mengarahkan organisasi Jepun di seberang laut, termasuk dalam tiga negara itu untuk meningkat lagi tahap keselamatan.

"Dalam mengambil langkah sesuai untuk keadaan luar jangka, Kedutaan Jepun di Malaysia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia selain daripada meningkatkan usaha mengumpul maklumat berkaitan.

Kedutaan Jepun sedang mengambil langkah keselamatan untuk memastikan keselamatan warga Jepun di Malaysia, dengan memberikan maklumat berkaitan menerusi kemudahan dan organisasi berkaitan Jepun, " kata jurucakap itu semasa dihubungi pada Jumaat tetapi enggan dikenali.  

Bernama yang membuat tinjuan di Kedutaan Jepun yang terletak di Persiaran Stonor dekat sini, Jumaat diberitahu oleh salah seorang pegawai keselamatan bahawa mereka telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Kita telah ambil langkah berjaga-jaga dan setakat ini tiada apa-apa berlaku," katanya kepada Bernama pada Jumaat. - Bernama

IS

Artikel Lain