suria

Jumlah Bacaan IPU Tidak Sihat Meningkat Kepada 14 Kawasan

Sesi persekolahan di Sarawak diteruskan walaupun cuaca jerebu teruk terutama di kawasan yang mengalami kualiti udara 'tidak sihat' dicatat oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jumlah kawasan mencatat pertambahan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat pada pukul 5 petang Jumaat kepada 14 kawasan berbanding hanya enam kawasan pada pukul 12 tengah hari.

Malah negeri yang terbabit juga bertambah daripada tiga negeri kepada enam negeri setakat petang.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, setakat ini, bacaan IPU tertinggi dicatatkan di Samarahan (184), Sri Aman (177) di Sarawak dan Nilai (135) di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Kuching, Sarawak masih merupakan antara yang tertinggi iaitu pada 164 tetapi ia kekal pada paras itu yang dicatat pada 12 tengah hari.

Tanjung Malim, Perak mencatatkan peningkatan mendadak dari bacaan sihat iaitu 31 kepada tidak sihat, 125.

Kawasan lain yang mengalami peningkatan ialah di Bandaraya Melaka (86 kepada 103), Bukit Rambai (93 kepada 114) di Melaka; Port Dickson (81 kepada 105), Seremban (98 kepada 123) di Negeri Sembilan; Banting (82 kepada 110), Pelabuhan Klang (81 kepada 107), Petaling Jaya (84 kepada 110), Shah Alam (80 kepada 107) di Selangor; Batu Muda, Kuala Lumpur (92 kepada 114) dan Putrajaya (80 kepada 103). 

Sementara itu, sebanyak 29 lokasi lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala hanya enam sahaja mencatatkan IPU baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). 

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

jerebu, IPU

Artikel Berikut

SPRM Nafi Tidak Siasat DEIG

Artikel Lain