suria

Jangan Lupa Beli Di Petaling Street, Pesan Menteri Kepada Peserta 'Baju Merah'

Hamzah (dua, kanan) di salah sebuah gerai Petaling Street di Jalan Petaling, Kuala Lumpur dalam lawatannya pada Jumaat. Turut serta, Say Tee (berbaju oren). Foto AZHAR MAHFOF / The Star

KUALA LUMPUR: Peserta perhimpunan 'baju merah' yang berhimpun di Bukit Bintang pada 16 September ini dicadangkan supaya turut membeli-belah di Petaling Street.

"Datang ke gerai-gerai dan beli barang-barang dari rakan-rakan saya di sini. Para peniaga juga boleh beri lebih banyak diskaun kepada mereka," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin semasa melakukan lawatan ke Petaling Street pada Jumaat.

"Tak ada masalah. Apa yang penting ialah jangan timbulkan sebarang gangguan," katanya.

Hamzah yang ditemani Pengerusi Persatuan Penjaja Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee dalam lawatan itu ditanya mengenai laporan bahawa 90 peratus daripada peniaga-peniaga di Chinatown akan menutup perniagaan mereka bagi mengelakkan sebarang insiden semasa perhimpunan berkenaan.

Perhimpunan 'baju merah' yang dianjurkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantah perhimpunan Bersih 4.0 merancang untuk berhimpun di Petaling Street dan Bukit Bintang sebelum berarak ke Padang Merbok pada Rabu.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya tiada yang melakukan kesalahan atau menyinggung perasaan orang lain. Masalahnya ialah sesetengah pihak cuba untuk memecah-belahkan rakyat dan menimbulkan kekacauan," katanya yang merujuk kepada perhimpunan 'baju kuning' Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Hamzah berkata, sekiranya negara ini dalam keadaan huru-hara, adalah sukar untuk ditanganinya termasuk imej Petaling Street berikutan pelancong tidak lagi akan datang ke sini.

"Kita mahu negara dan orang ramai hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Peniaga-peniaga di Chinatown tidak menyertai perhimpunan Bersih, jadi jangan ganggu mereka tetapi sebagai untuk memastikannya, saya membuat semakan dengan pihak polis," katanya secara berseloroh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain