suria

PAS Perlu Bersama Pakatan Baharu - Azmin

Azmin Ali

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan pihaknya akan tetap melibatkan PAS dalam pembentukan pakatan pembangkang baharu walaupun DAP berkeras menolak kemasukan parti Islam itu.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan pandangan demi menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

"Kita kena bincang, tidak ada pihak boleh membuat keputusan secara unilateral (melibatkan sebelah pihak).

"Setelah bertemu dengan Parti Amanah Negara (Amanah), Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata nak bertemu PAS, DAP.

"Kita perlu teruskan perbincangan. Bukan senang nak uruskan kerjasama antara parti politik," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Sebelum ini PKR diberi kata dua supaya membuat pilihan sama ada bekerjasama dengan DAP atau PAS kerana hubungan kedua-dua parti itu tidak lagi sehaluan.

DAP sebelum ini mengumumkan tidak lagi akan bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan keputusan parti itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Berikutan itu, PAS dalam muktamar tahunannya pada Jun lepas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bagaimanapun terus kekal dalam gabungan pembangkang. Keputusan itu membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Ditanya sama ada PKR mampu meyakinkan DAP dalam pembentukan pakatan baharu bersama PAS, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata: "Kita kena bincang, dalam keadaan sekarang ini kita berhadapan krisis utama.

"Kena duduk dan bincang, ia adalah proses dan kita mesti bertindak secara konsensus. Biarkan kami lalui prosesnya dahulu."

Azmin Ali, PAS, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain