suria

638 Usul Umno Bahagian Sudah Dijawab - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR: Kesemua 638 usul Umno Bahagian yang dibentangkan tahun lalu telah dijawab dan mendapat maklum balas daripada pihak kementerian, jabatan, agensi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu, 547 usul ditujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi manakala 91 usul lagi ditujukan kepada MKT. 

"Sebanyak 32 usul daripada 638 usul berkaitan kementerian, jabatan dan agensi telah dikembalikan semula untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat.

"Ini adalah kali pertama kita membuat susulan untuk mendapatkan jawapan usul daripada kementerian-kementerian berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, jawapan kepada usul-usul itu telah dikembalikan kepada Bahagian dan maklum balas usul turut dibentangkan dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian yang diadakan baru-baru ini. 

Selain itu, Persidangan Meja Bulat dijangka diadakan dua minggu sebelum Perhimpunan Agung Umno kali ini bertujuan meneliti dan memantapkan draf usul yang disediakan Jawatankuasa Usul MKT, katanya.

Ia melibatkan para cendekiawan, pakar akademik, tokoh korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, golongan profesional, pihak swasta, mahasiswa dan pihak berkepentingan di luar Umno.

Mengenai penyediaan Usul MKT, Hishammuddin berkata beliau akan mempengerusikan Usul Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Mustapa Mohamed (usul ekonomi), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (usul agama) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (usul pendidikan).

Terlibat sama, anggota MKT, Datuk Seri Sharkar Shamsudin (urus tadbir jurucakap-jurucakap termasuk pergerakan sayap), Datuk Razali Ibrahim (urus tadbir usul daripada bahagian-bahagian bersempena Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dan usul pergerakan sayap) dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki (urus  tadbir persidangan meja bulat).

Selain itu, Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak akan mengetuai urus tadbir komunikasi dan media manakala Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkaitan urus tadbir cadangan pindaan perlembagaan dan pentadbiran pemilihan Umno.

Hishammuddin berkata, gerak kerja jawatankuasa dan biro berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri dan ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung usul yang akan dibentangkan dalam perhimpunan kali ini.

Pada Rabu, Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 8 hingga 12 Disember ini.

Umno, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Lain