suria

Polis Jamin Tiada Insiden Pada Perlawanan Di Stadium Shah Alam Sabtu Ini

PETALING JAYA: Susulan kekecohan pada malam Selasa lalu, polis Selangor memberi jaminan bahawa perlawanan antara Selangor dan Kelantan pada hujung minggu ini di Stadium Shah Alam tidak akan berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas berhubung peminat yang sukar dikawal semasa perlawanan Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Beliau berkata, barangan tertentu yang kebiasaannya digunakan di kalangan penyokong semasa perlawanan bola sepak, tidak lagi dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.

"Saya beri contoh, kayu dram untuk mengetuk dram di stadium, yang mana ia sebenarnya boleh digunakan sebagai senjata. Jadi mereka perlu meninggalkannya di luar sebelum masuk ke stadium," katanya.

Penjual makanan juga akan menjalani pemeriksaan. Polis akan membuka pintu khas kepada penjual makanan bagi memeriksa produk mereka sebelum dibenarkan masuk ke dalam stadium.

"Kita akan menonton perlawanan bola sepak. Jangan lakukan apa sahaja yang membahayakan. Biar kita menonton perlawanan bola sepak dengan aman. Jadikan insiden yang telah berlaku sebagai satu pengajaran," katanya sambil menambah bahawa polis akan mengeluarkan surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung rancangan mereka pada Sabtu ini.

Berhubung insiden pada Selasa lalu, Shafien mengakui terdapat kelemahan dalam proses pemeriksaan terhadap para penyokong yang memasuki stadium.

Sebagai contoh, beliau mendapati terdapat anggota Rela yang berada di pintu utama yang menuju ke bahagian VIP di Stadium Shah Alam, tidak melakukan pemeriksaan yang cukup atau menghalang penyokong daripada melepasinya.

"Saya di sana dan kelemahan yang saya nampak ialah anggota Rela hanya duduk di pintu yang tidak berkunci. Jadi, bila orang ramai datang dan menolak pintu itu, 30 atau 50 orang lagi dapat masuk.

"Saya percaya kesemua mereka turut membawa barangan terlarang. Tetapi kita akan memantau pintu-pintu ini pada Sabtu," katanya.

Perlawanan bola sepak pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu terpaksa dihentikan ketika berbaki dua minit permainan di babak kedua ketika Arab Saudi mendahului 2-1, apabila segelintir penonton membakar dan membaling suar dan mercun roket ke kawasan padang.

Stadium Shah Alam

Artikel Berikut

Artikel Lain