suria

Penstrukturan Air Selangor Muktamad

SHAH ALAM: Proses penstrukturan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor dimuktamadkan hari ini dengan permeteraian empat perjanjian terakhir.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata empat perjanjian tersebut ialah Perjanjian Kemudahan, Perjanjian Pajakan, Perjanjian Penyelesaian dan Perjanjian Hak Guna yang menjadi syarat duluan kepada Perjanjian Utama bagi penstrukturan semula itu.

Beliau berkata dengan termeterainya perjanjian ini, Pengurusan Air  Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu memuktamadkan pengambilalihan Puncak  Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam masa  dua minggu daripada tarikh Perjanjian Utama dikuatkuasakan iaitu mulai 9 Sept, 2015.

"Selepas selesai pengambilalihan PNSB dan Syabas, Air Selangor juga  seterusnya perlu memuktamadkan pengambilalihan Konsortium ABASS dalam tempoh  empat bulan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis permeteraian perjanjian itu antara Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Air Selangor di sini, Selasa.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahim, manakala Air Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman, dengan disaksikan bersama oleh Ongkili dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Perjanjian Utama ditandatangani pada 12 Sept 2014 antara kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor, PAAB dan Air Selangor.

Di bawah Perjanjian Utama itu, kerajaan persekutuan akan menyediakan  peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk membolehkan kerajaan Selangor mengambil alih ekuiti syarikat konsesi yang terlibat.

Selain itu, kerajaan persekutuan melalui PAAB mengambil alih liabiliti syarikat-syarikat konsesi air berkenaan yang berjumlah RM7.694 bilion.

Sebagai balasan, kerajaan Selangor perlu menyerahkan aset-aset air kepada PAAB.

Aset berkenaan akan dipajak semula oleh PAAB kepada Air Selangor  berdasarkan 'sewa pajak' bagi tempoh 40 tahun, seperti mana dijalankan dalam  penstrukturan industri bekalan air di negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Ongkili berkata lesen Individu (Kemudahan) dan lesen Individu (Perkhidmatan) dikeluarkan kepada Air Selangor bagi membolehkannya memiliki aset-aset di Selangor serta mengendalikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagaimanapun, lesen ini akan hanya mula berkuat kuasa pada 22 Feb 2016 bagi membolehkan semua CP (syarat duluan) Perjanjian Kemudahan disempurnakan," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri sudah memberikan kelulusan yang diperlukan bagi membolehkan PAAB meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihannya yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2019.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam sidang akhbar yang sama berkata rundingan antara kerajaan negeri Selangor dan Splash mengenai tawaran mengambil alih aset air pemegang konsesi itu masih sedang berlangsung.

Beliau berkata rundingan itu masih terlalu awal dan Splash diberikan masa sehingga Julai tahun depan untuk memuktamadkannya.

Kerajaan Selangor membuat tawaran berjumlah RM250.6 juta pada Feb tahun lepas untuk membeli aset air yang dimiliki oleh Gamuda Berhad.

Gamuda memiliki 40 peratus pegangan dalam Splash.

Air Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain