suria

Hanya PM Boleh Panggil Sidang Tergempar Parlimen

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata hanya Perdana Menteri boleh meminta supaya sidang Parlimen tergempar diadakan.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4, Akta Parlimen, hanya Ketua Majlis (Perdana Menteri) boleh berbuat demikian dengan mengemukakan usul kepada Speaker, katanya.

"Ahli Parlimen yang lain tiada hak untuk kemukakan usul sidang tergempar, mana-mana ahli Dewan Rakyat sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang tiada hak. Hak untuk memanggil sidang tergempar sebelum tarikh (persidangan) yang ditetapkan awal hanya dimiliki Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.

"Hanya beliau (Perdana Menteri) boleh menulis kepada Speaker untuk memohon (diadakan sidang tergempar) bagi perkara penting yang kerajaan mahu bincangkan dan saya akan aturkan sidang itu. Tiada orang lain boleh melakukannya," katanya pada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung kali ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak termasuk PKR yang mendesak supaya  satu sidang tergempar Parlimen diadakan bagi membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan menjelaskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau sekali lagi menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang menyebut sama ada Ahli Parlimen boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

"Tiada langsung dalam peraturann. (Jadi) Bolehkah saya atas nama demokrasi, demokrasi barat, buat-buat peraturan mesyuarat itu? Itukan nampak bodoh," kata beliau.

Pandikar Amin menegaskan bahawa setakat hari ini, beliau belum menerima sebarang usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Ditanya sama ada usul seperti itu boleh dibawa ke Dewan Rakyat, beliau berkata: "Setiap Ahli Parlimen berhak kemuka pelbagai usul tetapi ia perlu mengikut peraturan tertentu.

"Peraturan Mesyuarat ada isu mengkehendaki notis dua minggu, satu minggu ataupun 24 jam."

Pandikar Amin Mulia, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Lain