suria

Kementerian Siasat Dakwaan SJKC Tidak Dibenar Jawab UPSR Dalam Dwibahasa

BENTONG: Kementerian Pendidikan mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia menyiasat dakwaan calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pulau Pinang yang tidak dibenarkan menjawab menggunakan dwibahasa.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana kementerian tidak pernah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan calon di SJKC seluruh negara menjawab menggunakan dwibahasa.

"Arahan kita sama seperti tahun-tahun sebelum ini...setakat semalam tiada perubahan dasar yang mengatakan kita tidak membenarkan calon UPSR di SJKC menjawab dalam dwibahasa.

"Kita telah arahkan Lembaga Peperiksaaan menyiasat hal ini kerana khuatir akan memberi kesan kepada murid-murid sebab ada banyak lagi kertas peperiksaan yang akan mereka duduki sehingga 10 Sept ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan UPSR di SJKC Khai Mun Pagi, di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Chong berkata pihaknya telah meminta penjelasan daripada Ketua Pengawas Peperiksaan sekolah yang terlibat untuk mengetahui daripada mana mereka menerima arahan tersebut.

"Beliau hanya berkata mendapat arahan agar semua kertas peperiksaan UPSR di SJKC dijawab dalam Bahasa Malaysia.

"Sedangkan tiada sebarang pekeliling yang mengatakan pelajar tidak boleh menjawab dalam dwibahasa.

"Sehubungan itu, saya telah meminta Pengarah Pendidikan Negeri memberi penjelasan sebenar agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan calon yang mengambil ujian berkenaan," katanya.

Chong juga berkata, kementerian turut memastikan tiada lagi isu berkaitan soalan bocor berlaku dalam peperiksaan UPSR tahun ini seperti tahun lalu.

"Kementerian mengambil iktibar daripada kejadian yang lepas, dan mengambil langkah berwaspada bagi memastikan ia tidak berulang.

"Kami sudah mengemaskini operasi di bilik kebal dan siapa yang dipertanggungjawabkan memegang kertas soalan selain memperketatkan lagi prosedur," katanya.

Seramai 455, 929 calon menduduki UPSR yang diadakan serentak di seluruh negara mulai Selasa.

UPSR, Kementerian Pendidikan, SJKC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain