suria

"Tolang Saya Cari Kevin" - Adik

Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memeriksa kereta dipercayai milik Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang ditemui terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang pada Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Adik kepada Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais merayu rakyat Malaysia supaya membantu mencari abangnya yang hilang sejak Jumaat lalu.

Bercakap kepada The Star dari Georgia, Amerika Syarikat, Charles Morais berkata kali terakhir dia bercakap dengan abangnya yang berusia 55 tahun itu adalah pada hari Khamis lepas.

Katanya, beliau akan terbang ke Malaysia pada Rabu ini.

"Saya percaya beliau masih hidup, tetapi saya takut apa yang mereka akan lakukan terhadap beliau.

"Beliau pastinya mempunyai musuh ketika berkhidmat," kata Charles.

Kevin merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik, dilahirkan di Ipoh dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson.

Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam jurusan undang-undang di University of London.

Beliau masih belum berkahwin.

Kevin menyertai Badan Peguam pada 1980-an dan menjadi majistret pada tahun 1985 sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau telah dipinjamkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana beliau berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah undang-undang dan bahagian pendakwaan selama 10 tahun.

Beliau kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai tahun lepas sebagai timbalan ketua bahagian rayuan dan perbicaraan.

Semasa di SPRM, beliau terlibat dalam pendakwaan kes rasuah tetapi tidak terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata sumber.

Charles berkata abangnya sentiasa berahsia mengenai hal berkaitan kerja.

Dia memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk meningkatkan usaha untuk mencari Kevin.

"Bagaimana seorang pendakwa raya boleh hilang seperti ini? Saya berharap Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri akan menjadikan kes ini sebagai keutamaan mereka," katanya.

Anthony Kevin Morais, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain