suria

Sarawak Sedia Kerjasama Dengan NGO Bukan Pembangkang

PUTRAJAYA: Sarawak sedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan pilihan raya negeri itu berjalan secara bebas dan bersih, dengan syarat mereka bersikap berkecuali, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

"Ya kami bersedia, dengan syarat mereka tidak menyebelahi pembangkang, bersikap berkecuali dan itu saja.

"Dan sudah tentulah, bukan saya yang membuat keputusan mengenainya, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan memutuskannya kerana mereka yang mengendalikan pilihan raya, bukan saya," katanya kepada pemberita pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di sini, Khamis.

Adenan adalah seorang daripada anggota panel pada sidang pleno bertajuk 'Keamanan, Kesaksamaan dan Keadilan Sosial: Memerangi Rasuah Dalam Pembangunan dan Pelaburan Melangkaui 2015'.

Pada sidang itu, beliau ditanya pengerusi bersama Bersih, Datuk S. Ambiga sama ada kerajaan negeri Sarawak bersedia bekerjasama dengan NGO untuk memastikan wujudnya liputan media secara bebas dan adil semasa pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini diadakan pada 2011 dan penggal dewan undangan negerinya sekarang akan berakhir menjelang Jun tahun depan.

Menjawab soalan sama ada kerajaan negeri Sarawak bersedia untuk menarik balik sekatan yang dikenakannya terhadap beberapa NGO daripada memasuki Sarawak, Adenan berkata: "Dengan syarat mereka bukan pelampau agama."

Adenan Satem, SPRM

Artikel Sebelum

Tol Tanpa Tunai Dijangka Lancar

Artikel Berikut

Artikel Lain