suria

Perintah Reman Dua Suspek Pemerdagangan Wanita Indonesia Dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Perintah reman ke atas dua suspek kes pemerdagangan wanita warga Indonesia di sebuah kondominum di Klang Lama, dekat sini yang tamat Selasa, dilanjutkan sehingga Isnin depan.

Penolong pengarah D7C Jabatan Siasatan Jenayah Atipsom Bukit Aman, Asisten Komisioner Maszely Minhad berkata, tempoh tahanan reman dua suspek tersebut dilanjutkan seminggu lagi bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dibuat.

Pada 27 Ogos lalu, Bernama melaporkan kejayaan unit D7C Bukit Aman menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerdagangan 21 wanita Indonesia yang disyaki dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah.

Dalam serbuan berkenaan polis turut menyelamatkan sembilan daripada mereka yang seterusnya dihantar ke rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam perkembangan sama, seorang penduduk kondominium berkenaan memaklumkan Bernama hari ini, aktiviti kumpulan sindiket terbabit dilihat kembali aktif sejak empat hari lepas.

"Saya dimaklumkan oleh penghuni dan pengawal keselamatan kondominium, mereka ada melihat sebuah van dan kereta mewah milik seorang daripada anak lelaki ketua sindiket itu meneruskan aktiviti mereka keluar masuk kondominium terbabit," katanya.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan kerisauan penghuni yang bimbang keselamatan mereka terancam apabila kondomimum berkenaan kembali menjadi lokasi kegiatan sindiket pemerdagangan manusia.-- Bernama

Indonesia, Atipsom, D7C

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain