suria

Pembantu Pendaftar Mahkamah Syariah Didakwa Terima Rasuah

KUANTAN: Seorang pembantu pendaftar Mahkamah Syariah Pekan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,500 pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Kahar Arshad, 48, didakwa menerima rasuah itu daripada seorang pembantu tadbir Hurul-Ain Hanafi pada jam 4.20 petang, 28 Mei 2014 di Restoran D'Oasis, Jalan Putra Square, di sini.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh membatalkan perkahwinan Hurul-Ain, 31, dengan suaminya Mohamad Zaki Ahmad Ghazali, 38, yang berkahwin di Aceh, Indonesia yang dikatakan tidak sah selepas sijil pernikahan mereka dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand.

Tertuduh ditangkap pada 28 Ogos 2014 selepas Hurul-Ain membuat laporan pada 27 Ogos 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ameer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid, Mohd Sazali Abd Aziz dan Mohd Falihin Kamil Mohd Sazali.

Hakim Habibah Mohamed Yusof membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang dimohon pendakwaan selepas peguam tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan ke atas jumlah itu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 September depan.

Tertuduh membayar jaminan itu. -- Bernama 




Artikel Lain