Segera Perbetul Persepsi Negatif Ekonomi Negara - Mustapa - Semasa | mStar

Segera Perbetul Persepsi Negatif Ekonomi Negara - Mustapa

Mustapa Mohamed

KOTA BARU: Persepsi negatif terhadap ekonomi negara perlu segera diperbetul bagi menangkis kekeliruan yang wujud dalam kalangan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan mengenal pasti bahawa kedudukan ekonomi hari ini bukan satu krisis tetapi satu keadaan yang berpunca daripada persepsi dan sentimen.

"Umpamanya persepsi bahawa ekonomi negara kita terlalu bergantung kepada minyak. Ini tidak betul kerana 77 peratus daripada eksport kita terdiri daripada barangan pembuatan. Pergantungan kita kepada minyak, kelapa sawit dan getah cuma 23 peratus," katanya kepada pemberita di sini Khamis malam.

Mustapa berkata, keadaan ekonomi berkemungkinan juga ada kaitan dengan politik namun faktor itu dilihat bersifat sementara.

Beliau berkata ekonomi negara masih kukuh seperti yang diumumkannya dua hari lepas iaitu Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan baharu diluluskan sebanyak RM113.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, dengan 81.1 peratus merupakan pelaburan domestik.

Dari segi pelaburan jangka panjang, beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang.

"Yang penting, kita perlu menguruskan persepsi sebaik mungkin, termasuk memperbaiki komunikasi supaya rakyat memahami keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas usahanya menambah kemudahan kesihatan di Kelantan.

Katanya pembinaan Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan kos RM180 juta dan pembinaan hospital di beberapa daerah lain memberi peluang rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Perdana Menteri dijadual merasmikan Pusat Rawatan Harian HRPZ II itu, esok.-- Bernama


Mustapa Mohamed , ekonomi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel