suria

1MDB: Polis Perancis Mula Bertindak - Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan.

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa pihak berkuasa Perancis mula bertindak terhadap laporan polis yang dibuatnya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, perkara itu dimaklumkan oleh polis di Lyon, Perancis menerusi emel bahawa laporan pada Julai lalu berserta rakaman kenyataan beliau telah dihantar kepada majistret di sana.

“Pegawai penyiasat polis Lyon telah mengesahkan bahawa laporan polis saya juga telah dihantar kepada jabatan siasatan komersial oleh pihak majistret.

“Saya berdoa selepas ini polis Perancis juga akan memaklumkan mengenai kes ini kepada pihak Interpol (Polis Antarabangsa) yang mana ibu pejabatnya juga di Lyon memandangkan polisi Interpol hanya berurusan dengan pihak penguatkuasa negara bukan individu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, dilaporkan Khairuddin ke Switzerland bagi menyerahkan bukti berkaitan skandal 1MDB kerana mendakwa pihak berkuasa Malaysia tidak bertindak dengan tegas dan segera terhadap laporannya sebelum ini.

Terdahulu, Khairuddin menerusi laman Facebooknya memaklumkan mengenai tindakannya menyerahkan semua bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB kepada pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.

Beliau ditemani peguam, Matthias Chang untuk menyerahkan bukti dan kronologi membabitkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu pada Selasa lalu.

Bukti sama akan turut diserahkan kepada pengawal selia kewangan Switzerland, Finma untuk menjalankan siasatan secara komprehensif terhadap kes 1MDB yang membabitkan Swiss Bank serta beberapa bank antarabangsa yang lain.

Sebelum ini, Khairuddin pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia kerana mendakwa berlaku ketirisan dalam pentadbiran 1MDB.

Khairuddin Abu Hassan, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain