suria

1MDB: Khairuddin Beri Sebab Kenapa Dia Buat Laporan Di Switzerland

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan nekad ke Switzerland bagi menyerahkan bukti berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mendakwa pihak berkuasa Malaysia tidak bertindak dengan tegas dan segera terhadap laporannya sebelum ini.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, perjalanan jauhnya ke Eropah itu dilakukan kerana menganggap tidak lagi boleh bergantung kepada penguatkuasa di Malaysia.

Beliau juga mendakwa pihak berkenaan tidak amanah dan tidak berani melaksanakan tanggungjawab mengikut hukum agama dan undang-undang.

"Sudah sampai masanya saya memilih jalan nekad untuk selamatkan negara kita.Penguatkuasa di Malaysia tidak berani bertindak melawan kemungkaran. Apa yang dilaporkan kepada polis dan Bank Negara pejabat Peguam Negara tidak bertindak.

"Jika isu ini tidak ditangani secara telus, adil dan komprehensif, Umno dan Barisan Nasional bakal hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya pada Khamis.

Terdahulu, Khairuddin menerusi laman Facebooknya memaklumkan mengenai tindakannya menyerahkan semua bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB kepada pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.

Beliau ditemani peguam, Matthias Chang untuk menyerahkan bukti dan kronologi membabitkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu pada Selasa lalu.

Bukti sama akan turut diserahkan kepada pengawal selia kewangan Switzerland, Finma untuk menjalankan siasatan secara komprehensif terhadap kes 1MDB yang membabitkan Swiss Bank serta beberapa bank antarabangsa yang lain.

Sebelum ini, Khairuddin pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia kerana mendakwa berlaku ketirisan dalam pentadbiran 1MDB.

Ditanya apakah beliau tidak bimbang dicop cuba menggugat keharmonian dan keselamatan negara, kata Khairuddin,  beliau sedia menghadapi apa juga tindakan termasuklah ditahan pihak polis.

"Saya rasa ia akan berlaku (ditahan), tetapi saya rela demi perjuangan menegakkan kebenaran," katanya lagi.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain