suria

Pekedai Runcit Mati Ditembak Di Johor Baru

JOHOR BARU: Seorang peniaga kedai runcit mati ditembak dari jarak dekat di kawasan letak kereta awam di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pelangi, di sini Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.25 malam ketika mangsa dipercayai baru  selesai membeli belah di pasar raya berkenaan.

"Ketika sedang memasukkan barangan ke dalam keretanya, mangsa ditembak dari jarak dekat, mengakibatkannya rebah dan mati di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Khamis.

Butiran mengenai mangsa lelaki berusia 35 tahun itu terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan dan kepentingan siasatan, kata Sulaiman.

Menurutnya, setakat ini polis belum dapat mengenal pasti suspek yang menembak mati mangsa, namun yakin hanya satu tembakan dilepaskan yang terkena  bahu kiri mangsa sebelum tembus keluar melalui bawah ketiak kanan.

Berdasarkan penemuan satu kelongsong peluru dan beberapa barangan kes lain di tempat kejadian, polis juga percaya senjata yang digunakan adalah jenis semi auto.

"Setakat ini, tiada saksi yang tampil dan kenderaan yang digunakan mangsa tidak mengalami kerosakan akibat tembakan.

"Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.

Menurut Sulaiman, polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kejadian berkenaan.

Polis juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat, menghubungi balai polis berhampiran atau talian Hotline 07 - 2218 999.--Bernama

Taman Pelangi, Sulaiman Salleh

Artikel Lain