suria

Tembok, Jaring Untuk Kurangkan Pencemaran Bauksit Di Pelabuhan Kuantan

KUANTAN: Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) akan membina tembok setinggi sembilan meter di kawasan penyimpanan bauksit di pelabuhan di sini, bagi mengurangkan kesan pencemaran daripada bahan mineral itu kepada penduduk setempat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu yang berkata, KPC juga memberitahu akan memasang jaring bagi mengelak debu bauksit berterbangan sehingga mengangggu keselesaan penduduk.

"Pihak berkenaan juga akan menyelenggara dan memasang penapis di longkang selain mengasingkan sisa kelodak bauksit agar tidak mengalir secara terus ke sungai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan di pejabat KPC di sini, Khamis.

Turut serta dalam perjumpaan itu ialah Adun Teruntum Sim Chon Siang, manakala KPC diwakili Pengurus Kanan Jabatan Trafik dan Marin, Alimi Ibrahim dan Pengurus Bahagian Kesihatan, Alam Sekitar dan Keselamatan, Abdul Halim Hussien.

Andansura yang menyambut baik pelan itu, bagaimanapun memohon supaya KPC dapat melaksanakan semua rancangan itu dengan segera memandangkan tempoh pelaksanaan yang diberitahu KPC iaitu sehingga Jun 2016 adalah terlalu lama.

"Ia perlu disiapkan segera, iaitu sehingga hujung tahun ini atau awal tahun 2016. Tempoh perancangan yang terlalu lama akan menimbulkan keadaan pencemaran yang lebih teruk dan mengganggu penduduk setempat," katanya.

Sementara itu Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) Ali Akbar Othman berkata, pihaknya akan mengadakan perarakan 'kereta celup tepung' iaitu kereta yang 'disaluti' debu bauksit di Padang MPK1 di sini, pada Sabtu ini.

Beliau menambah pihaknya telah mendapat kebenaran untuk mengadakan himpunan itu yang dijangkakan akan disertai kira-kira 3,000 orang terutamanya penduduk dari kawasan yang terlibat dengan pencemaran bauksit seperti di Beserah, Sungai Ular dan Bukit Goh.

"Masalah yang dihadapi bukan sekadar debu bauksit, tetapi juga kesesakan jalan akibat tindakan lori mengangkut bauksit yang tidak menentu, termasuk semasa waktu puncak penduduk keluar dan balik kerja.

"Perjumpaan dengan KPC juga memaklumkan bahawa setiap hari terdapat 2,000 trip lori ke pelabuhan. Ini adalah jumlah yang luar biasa," katanya.

Ali Akbar berkata pihaknya juga akan menyerahkan petisyen kepada kerajaan negeri bagi menuntut tindakan diambil untuk mengatasi masalah berkaitan perlombongan mineral itu. -- Bernama 



KPC, bauksit, Andansura Rabu

Artikel Sebelum

Artikel Lain