suria

Konspirasi Gulingkan Kerajaan Taktik Alih Tumpuan - PAS

PETALING JAYA: PAS menyifatkan teori konspirasi menggulingkan kerajaan merupakan helah untuk mengalih tumpuan rakyat mengenai pelbagai isu termasuk dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sesuatu yang pelik apabila pihak berkuasa masih belum bertindak terhadap 'watak misteri' yang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan.

"Tidak hairan tiba-tiba muncul satu teori konspirasi bahawa ada plot untuk menggulingkan Perdana Menteri oleh seorang pemimpin Umno yang dibawa kepada media oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Menimbulkan watak misteri ini adalah sebahagian ciri-ciri kepakaran Umno dalam mengalihkan perhatian rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang mendedahkan terdapat gerakan untuk menggulingkan kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim menggesa rakyat supaya sentiasa berwaspada dengan taktik Umno yang cuba mengalihkan tumpuan mengenai masalah sebenar yang melanda negara.

"Teruskan tekanan agar kebenaran akan keluar pada akhirnya dalam isu 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion yang telah menjejaskan keyakinan dunia terhadap ekonomi dan kepimpinan negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain