suria

Tahanan Polis Lari Ditahan Semula

JOHOR BARU: Seorang lelaki yang melarikan diri daripada tahanan polis selepas cuba melakukan samun di kawasan sebuah kilang di Bandar Seri Alam di sini Sabtu malam berjaya ditahan semula, petang ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh dalam kenyataan di sini berkata suspek berusia 22 tahun dari Kampung Sayang itu, ditahan ketika dibawa keluarganya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini, pada kira-kira 2 petang tadi.

Dalam kejadian pada 9.03 malam tadi, suspek ditahan dua anggota peronda polis ketika melakukan samun terhadap seorang lelaki warga Pakistan di kawasan berkenaan.

"Selepas membuat tangkapan, suspek digari dan dimasukkan ke dalam kereta peronda, manakala kedua anggota polis itu pula berada di luar kenderaan bagi mencatat butiran mangsa dan kejadian cubaan samun tersebut.

"Bagaimanapun, ketika kedua anggota itu melakukan tugas, suspek bertindak memandu kenderaan dan melarikan diri sebelum kereta itu ditemui di kawasan Kangkar Tebrau kira-kira 9.30 pagi ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan menyamun dan Seksyen 223/224 KK kerana kesalahan melarikan diri daripada tahanan serta kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri.-- Bernama

Artikel Lain