suria

Spekulasi Anak Nik Aziz Sertai GHB

Nik Omar Nik Abdul Aziz

KOTA BARU: Anak lelaki Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan akan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), sekali gus memberi tamparan kepada golongan ulama PAS Kelantan.

Wujud spekulasi, Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan itu akan menyertai GHB dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja GHB Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas mengenai gambar beliau, Nik Omar dan calon presiden PAS yang tewas pada pemilihan parti itu, Ahmad Awang yang menjadi viral.

"Boleh kamu hubungi saya selepas pukul 5 petang, selepas selesai mesyuarat GHB yang saya sedang pengerusikan," katanya yang juga salah seorang pemimpin PAS yang secara terbuka bekerjasama dengan GHB Kelantan.

Pemimpin lain yang turut menyertai GHB adalah Ahli Parlimen Kuala Krai, Mohd Hatta Md Ramli.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Bahagian Kota Baru, Dr Rosli Alani Abdul Kadir ketika dihubungi pasti Nik Umar akan menyertai GHB, tetapi tidak pasti bila ia akan berlaku.

Nik Omar mewujudkan kontroversi apabila menjemput Ahmad Awang ke kediaman bapanya untuk ceramah Maghrib dalam tempoh kempen untuk pemilihan parti itu pada Jun, bagaimanapun membatalkan hasrat itu apabila dibantah ahli keluarganya.

Nik Omar bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya sama ada mengesahkan atau menafikan spekulasi dan gambar yang menjadi viral itu.

Beliau adalah pengetua sekolah agama Maahad Darul Anuar yang diwujudkan datuknya, Nik Mat Raja Banjar.

Nik Umar Nik Abdul Aziz, GHB

Artikel Lain