suria

KPDNKK Sokong Pembukaan Low Yat 2

Hamzah Zainuddin.

LIPIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyokong sepenuhnya cadangan mewujudkan 'Low Yat 2' sebagai platform baharu usahawan bumiputera menjual peralatan elektronik serta telekomunikasi yang tulen.

Menteri berkenaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, tidak bersifat rasis kerana ia boleh memberi manfaat kepada semua pihak dan bukan terhad kepada kaum bumiputera sahaja.

"Kita sokong cadangan berkenaan kerana ia memberi faedah kepada semua pihak terutama kepada pengguna dalam mendapatkan peralatan yang tulen.

"Bagi tujuan ini, kita akan memberikan 'trust mark' atau cop pengiktirafan barangan tulen kepada setiap alatan yang dijual di 'Low Yat 2'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lipis di sini, Ahad.

Turut hadir, Ketua Umno bahagian, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Ismail Sabri sebelum ini mencadangkan sebuah ruang jualan produk komputer, dan alatan telekomunikasi khusus diwujudkan untuk peniaga Melayu dan Bumiputera atas platform Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Namun cadangan itu dipandang negatif sesetengah pihak termasuk pemimpin MCA yang mendakwa ia bersifat rasis.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan dan menindas pengguna dengan menaikkan harga barangan sesuka hati dan melampau.

Hamzah juga berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk memberi kuasa kepada Anggota Majlis Pengguna di setiap daerah serta anggota persatuan pengguna bagi mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan kegiatan berkenaan. - BERNAMA

Hamzah Zainuddin, KPDNKK, Low Yat 2

Artikel Lain