suria

SPRM Terima 246 Aduan 'Lesen Terbang' Dari 2011-2015

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sebanyak 246 aduan berhubung kesalahan sogokan bagi mendapatkan lesen memandu dengan cara yang mudah dalam tempoh lima tahun sejak 2011.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Datuk Yusoff Akope berkata, daripada jumlah itu sebanyak 124 kes disiasat membabitkan 61 tangkapan orang awam, Jabatan Pengangkutan Jalan dan wakil institut memandu dari seluruh negara.

"Kesalahan paling tinggi dikesan ialah melibatkan lesen memandu. Ada individu sanggup menawarkan wang untuk mendapatkan lesen memandu dengan cara yang cepat dan mudah.

"Kita memandang serius gejala rasuah seperti ini kerana ia juga turut memberi kesan sampingan serta mencalarkan imej Jabatan dan institut memandu itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangi Ikrar Integriti Korporat (CIP) dengan Institut memandu negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Beliau berkata pihaknya percaya sekiranya pemantauan terhadap peraturan dan prosedur permohonan serta kelulusan lesen memandu itu dilakukan secara kerap dan menyeluruh, masalah 'lesen terbang' ini tidak akan timbul.

"Penggunaan CIP adalah satu inisiatif bagi mengekang gejala yang bukan sahaja melibatkan orang awam malah penjawat awam sekali gus mencegah kegiatan lesen terbang," katanya.

Justeru katanya, SPRM menyeru semua pihak khususnya calon ujian memandu agar tampil melaporkan kes rasuah untuk mendapatkan lesen tanpa ujian kerana ia melibatkan isu keselamatan pengguna jalan raya.-- Bernama

SPRM, Yusoff Akope, lesen terbang

Artikel Lain