suria

Nasihat Anak Pak Imam Berkesan Di Hati

ASSALAMUALAIKUM. Ketika ini, tentu sekali pembaca memenuhi undangan ke majlis rumah terbuka kerana tidak lama lagi Syawal akan melabuhkan tirai. Bukan sekadar rumah terbuka, mungkin ada juga antara kita menghadiri kenduri doa selamat untuk bakal tetamu Allah yang akan berangkat untuk menyempurnakan ibadat haji.

Bermula 16 Ogos ini bersamaan 1 Zulkaedah 1436 Hijrah, umat Islam di negara ini akan berangkat ke Tanah Suci untuk urusan ibadat haji. Bakal jemaah haji yang memilih penerbangan awal dan pertengahan akan memasuki ke kota Madinah manakala penerbangan akhir terus memasuki Makkah.

Pada ketika ini juga, teringat saya kepada hasrat saya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci buat kali pertama. Sekitar lewat 1990-an, saya terfikir untuk menunaikan umrah bersama-sama suami dan dua anak yang masih kecil.

Duit simpanan sudah ada di tangan. Tinggal tunggu masa untuk memilih agensi pelancongan bersesuaian. Namun, segala-galanya berubah setelah mendengar nasihat seorang anak imam dikenali sebagai Alias.

Alias adalah suami kepada rakan sekerja saya, Nurul Adlina Kamaluddin. Saya bertemu Alias di Pusat Perubatan Pantai di Jalan Pantai Baharu, Bangsar kerana ketika itu Alias mengalami gout. Beliau yang ditemani isterinya ketika itu masih mampu tersenyum dan bersembang dengan saya.

“Kak Ana nak pergi umrah dengan abang Rahman dan anak-anak,” ujar Nurul Adlina kepada suaminya.

“Alhamdulillah,” balas Alias.

“Kak Ana dah buat haji ke?” tanya Alias pada saya.

“Belum…,” jawab saya ringkas.

“Lebih baik kak Ana tunai haji dulu baru pergi umrah sebab haji tu rukun,” nasihat Alias.

“Ok…insha Allah. Terima kasih,” jawab saya tersenyum.

Saya memohon diri untuk pulang semula ke pejabat selepas kira-kira setengah jam menziarahi Alias. 

Dalam perjalanan singkat untuk pulang ke pejabat yang terletak di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar, fikiran saya asyik teringat nasihat Alias mengenai ibadat haji.

Entah kenapa, pesanan itu benar-benar menusuk ke kalbu dan bermain dalam fikiran saya hingga saya pulang ke rumah. 



“Saya ingat nak pergi haji…” ujar saya pada suami.

“Hah? Haji?” balas suami.

“Iye. Saya nak pergi haji. Awak ikut sekalilah,” ujar saya terus.

“Dah cukup duit ke?” tanya suami.

“Insha Allah adalah sikit-sikit…Saya nak pergi Lembaga Tabung Haji (LTH) dulu, nak check duit,” balas saya.

“Tadi tengah hari saya ziarah suami Nurul Adlina di hospital. Dia tanya saya dah pergi haji ke belum lepas Nurul bagi tahu kita nak pergi umrah bawa anak-anak,” cerita saya kepada suami.

“Emm. Tak jadilah kita pergi umrah?” tanya suami pula.

“Tak jadilah. Lebih baik saya pergi haji dulu. Betul juga cakap Alias tu. Haji rukun. Jadi lebih baik selesaikan haji dulu. Umrah tu insha Allah jika kita ada rezeki boleh bawa budak-budak,” balas saya panjang lebar.



Suami tidak banyak bercakap. Mungkin dia hairan melihat keadaan saya yang seolah-olah tidak sabar kerana turut menyatakannya kepada kedua-dua ibu bapa mengenai hasrat saya itu. Saya tinggal di sebelah rumah ibu bapa saya.

“Ibu, bapak, Ana cadang nak pergi haji…” ujar saya selepas bapa pulang dari menunaikan solat Isyak.

“Alhamdulillah,” spontan ucapan bapa saya sambil tersenyum lebar.

“Alhamdulillah…” ucap ibu juga tersenyum.

“Baguslah kalau Ana nak pergi haji sebab haji rukun dan mesti disegerakan,” pesan bapa pula.

“Insha Allah, hari Ana tak kerja, Ana pergi pejabat LTH. Tak jadilah Ana dan Rahman nak bawa anak-anak pergi umrah tahun depan (1999). Tambahkan duit untuk pergi haji sahaja ,” ujar saya yakin.

Saya tidak berlengah dalam hal itu. Seperti saya katakan kepada suami, pada hari tidak bekerja saya ke pejabat LTH di Jalan Tun Razak. Tiba di kaunter, kakitangan di depan saya memberi salam dan selepas salamnya disambut, saya terus maklumkan hasrat hati. 

“Saya nak pergi haji. Bagaimana ye?” tanya saya ringkas.

“Sudah mendaftar ke?” tanya kakitangan di kaunter.

“Daftar? Kena daftar ke?” balas saya.

“Ye. Mesti daftar haji jika hendak pergi haji,” katanya.

“Oh ye ke? Saya dah simpan duit kira-kira 10 tahun. Itu bukan daftar ke?” tanya saya.

“Itu sebagai pendeposit tapi jika hendak pergi haji, mesti daftar dulu,” katanya lagi.

“Baiklah. Saya daftar sekarang. Berapa kena bayar? Berapa kos haji sekarang ini?

“Untuk daftar haji, Puan kena bayar RM1,200 (ketika itu). Jumlah itu kami akan ‘lockhed’  dan tidak boleh dikeluarkan kerana itu tandanya Puan telah daftar untuk mengerjakan ibadat haji.

“Oh…saya tak tahu pun pasal kena daftar haji. Ingat dah jadi pendeposit, secara automatik dah daftar sebagai jemaah haji…” balas saya agak bingung.

“Berapa kos tunai haji ye?” tanya saya.

“Puan pergi ikut muasasah, kos dalam RM8,545,” balas kakitangan itu.

“Baiklah. Terima kasih. Tapi bila pula boleh tunai haji jika daftar sekarang?” tanya saya lagi.

“Insha Allah kira-kira tujuh tahun lagi Puan boleh pergi,” balas kakitangan itu lagi.

“Hah. Lambatnya. Kenapa lama sangat?” tanya saya terus.

“Ikut giliran dan ada kuota setiap tahun,” balas petugas itu ringkas.

Saya tidak banyak bertanya namun semangat untuk ke Tanah Suci begitu meluap-luap. Beliau menyerahkan borang berwarna hijau untuk saya isi dan saya bawa pulang borang itu. 

Menerusi borang itu antara soalan yang ditanya mengenai pemilihan jadual penerbangan dan maklumat waris. 

Tiba di rumah, saya mengisi borang itu dan bertanya suami adakah dia juga mahu menunaikan ibadat haji.

“Tak apalah, awak pergi dulu. Mungkin masa awak pergi tu, saya ada peperiksaan,” kata suami memberi izin.

Saya agak kecewa dengan kata-katanya kerana mengharapkan dia juga pergi bersama-sama saya. Saya membawa borang ke rumah ibu bapa saya. Suami mengikut saya ke rumah ibu bapa dan masih saya ingat bapa saya berkata: “Man, pergilah haji. Temankan Ana…” pesan bapa.

“Tak apalah Pak. Rahman izinkan Ana pergi.  Mungkin Rahman ada periksa nanti,” balas Abdul Rahman yang ketika itu sedang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor.

Bapaku diam. Ibuku memerhati. Saya mengisi borang penuh teliti dan memilih penerbangan pertengahan jika diundang sebagai tetamu Ilahi untuk mengerjakan ibadat haji walaupun di sudut hati, saya sedar pemergian ke Tanah Suci masih jauh lagi.

Saya tidak berlengah menyerahkan semula borang kepada LTH pada esok pagi dan selepas itu bergegas ke pejabat di Jalan Riong. Entah kenapa selepas mengembalikan borang itu, saya tidak pernah jemu menghubungi  kakitangan di LTH dan saban bulan berkunjung ke kaunter LTH untuk mengetahui perkembangan terkini.

Bermula detik itu juga, saya tidak pernah putus berdoa agar Allah mengundang saya sebagai tetamu haji. Saya juga memohon agar ibu bapa mendoakan niat murni saya untuk menjadi tetamu Allah dan menjejakkan kaki ke Baitullah.

Saya mula membaca buku-buku mengenai ibadat haji. Bapa pula membelikan saya kaset ceramah ibadat haji oleh Datuk Harun Din al-Hafiz untuk saya dengar di dalam kereta manakala suami pula membelikan saya VCD ibadat haji oleh Datuk Ismail Kamus yang menjadi bahan tontonan saya pada hujung minggu.

Kesibukan masa di pejabat dan kekangan kerja membataskan saya daripada menjalani ibadat kursus haji bersiri di masjid. Justeru, saya banyak mendengar daripada kaset dan VCD sahaja selain bahan bacaan yang dibelikan oleh bapa dan suami.

Saya juga banyak bertanya pada ibu bapa yang sudahpun dua kali menyempurnakan rukun Islam kelima itu. Mereka tidak lokek ilmu dan rajin berkongsi pengalaman dengan saya yang seringkali mengemukakan pelbagai persoalan serta membangkitkan kemusykilan.

Hati saya umpama dipanggil-panggil untuk ke Tanah Suci apatah lagi mendengarkan nenek, ibu saudara dan bapa saudara di Singapura juga akan menunaikan haji pada 2000. Oleh kerana hati saya kental dan kuat untuk ke Tanah Suci, saya memohon LTH menimbangkan hasrat hati saya untuk menunaikan ibadat haji pada 2000. 

Adakah permohonan rayuan saya diterima oleh LTH? Apakah pula alasan yang saya berikan kepada LTH agar mereka memberi ruang kepada saya untuk menjadi tetamu haji? Ikuti catatan saya seterusnya pada minggu hadapan. Insha-Allah.

Syawal, Tanah Suci

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain