suria

Shafie Apdal Kekal Rasmi Mesyuarat Umno Bentong

KUANTAN: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bentong yang dijadualkan pada 22 Ogos ini.

Ketua UMNO Bahagian Bentong Datuk Seri Adnan Yaakob mengesahkan jemputan kepada Mohd Shafie untuk merasmikan persidangan di Dewan Majlis Perbandaran Bentong itu masih berjalan dan tidak dibatal.

"Beliau masih lagi naib presiden. Tidak elok... Budaya Melayu UMNO ada budi bahasa. Tidak ada salahnya menjemput. Beliau tahu apa yang beliau patut cakap," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang menambah, sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekalipun pasti tidak mempunyai halangan terhadap mana-mana bahagian daripada menjemput Mohd Shafie.

Sementara itu, kedudukan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Lipis dan Cameron Highlands pada 15 Ogos masih menjadi tanda tanya.

Ketua UMNO Bahagian Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamed masih belum memberikan kata putus berhubung perkara itu manakala Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands Datuk Wan Rosdy Wan Ismail pula enggan mengulas lanjut.

Ketua UMNO Bahagian Raub Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin juga enggan mengulas mengenai pengganti bekas timbalan perdana menteri itu bagi merasmikan mesyuarat bahagian tersebut pada 15 Ogos ini selepas mereka membatalkan jemputan kepada Muhyiddin.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata tindakan mana-mana bahagian untuk menjemput tokoh bagi merasmikan persidangan perwakilan adalah hak mereka dengan mengambil kira "apa yang terbaik untuk mereka dan parti secara keseluruhannya".

Umno, Bentong

Artikel Lain