suria

"Jangan Takut Bercakap Benar" - Shafie

Datuk Seri Shafie Apdal
KUALA KUBU BHARU: Umno akan menjadi lemah jika ahli-ahlinya hanya bersikap 'mengangguk' kerana takut untuk menyatakan kebenaran, kata Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.

Shafie, yang digugurkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam rombakan Kabinet pada Selasa berkata, ahli Umno harus berani menyatakan kebenaran.

"Dalam perjuangan, anda tidak boleh takut bercakap benar dan jika anda terus berpegang kepada kepercayaan bahawa kita berada di sini untuk rakyat, maka InsyaAllah, kita tidak akan ditolak.

"Demi parti ini yang saya sayang, saya berjanji di sini bahawa saya akan meneruskan perjuangan saya.

"Tetapi adakah salah saya memberi nasihat? Kita semua tidak boleh menjadi 'yes men'. Ia tak sepatutnya wujud. Ia akan melemahkan kita," kata Shafie pada majlis perasmian Mesyuarat Umno Hulu Selangor di sini, Sabtu.

Shafie juga mendakwa, parti itu juga tidak menangani isu-isu berkait yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia, seperti kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kontroversi 1MDB dan lain-lain.

Beliau kemudian berkata kepada pemberita bahawa kritikan beliau perlu diambil secara positif, sambil menambah ia bertujuan untuk mengukuhkan Umno dan keyakinan terhadap Kerajaan.

"Saya akan tetap setia. Siapa kata saya tidak akan setia? Tetapi apa yang bahayanya dalam memberi nasihat?" katanya.

Beliau juga menambah bahawa isu-isu ini mesti diselesaikan jika parti mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang.
1MDB, GST, Datuk Seri Shafie Apdal

Artikel Berikut

Artikel Lain