suria

Pimpinan Umno Negeri Hadiri Sesi Bersama PM

Wakil media menunggu di luar Kompleks Seri Perdana bagi memdapatkan perkembangan perjumpaan Perdana Menteri dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Jumaat.
PUTRAJAYA: Beberapa pimpinan Umno negeri dilihat memasuki Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri sesi pertemuan bersama Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkembangan politik semasa negara.

Antara yang awal dilihat memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Kedah) dan Datuk Seri Idris Haron dari Melaka.

Turut dilihat masuk kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan Najib mahu memaklumkan mengenai beberapa isu semasa khususnya berhubung rombakan Kabinet dan pelantikan Peguam Negara yang baharu.

Bagaimanapun, mesyuarat itu juga menimbulkan spekulasi di kalangan pemimpin Umno bahawa presiden parti mungkin akan menggantikan beberapa pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Alasannya adalah Najib mahukan pemimpin yang boleh dipercayai  untuk mengendalikan jentera parti peringkat negeri.

Perjumpaan itu diatur selepas pembatalan mesyuarat Majlis Tertinggi dan sesi taklimat tertutup presiden Umno bersama pemimpin bahagian yang dijadual diadakan pada Jumaat.




Artikel Lain