suria

Prasarana Minta Kadar Tambang Tren Dikaji

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengkaji semula kadar tambang perkhidmatan tren dibawah kelolaan syarikat itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz berkata semakan tersebut wajar dilakukan seiring dengan peningkatan kos penyelenggaraan tren dan kenaikan kadar tarif elektrik.

"Semakan kadar baharu itu selain dapat mengimbangi kos sedia ada, juga membolehkan perkhidmatan tren dipertingkat untuk kemudahan orang ramai," katanya selepas sesi taklimat Projek Stesen Aliran Ringan (LRT) bersama media di Stesen Awan Besar di sini, Khamis.

Kali terakhir semakan tambang tren dilakukan adalah pada tahun 2002, katanya.

Ditanya mengenai kadar baharu yang sepatutnya ditetapkan, beliau berkata ia bergantung kepada penilaian SPAD.

Sementara itu, Azmi berkata empat stesen baharu LRT aliran Ampang fasa pertama akan mula beroperasi pada 31 Okt ini merangkumi stesen Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK 5.

Bagi fasa kedua aliran yang sama pula akan melibatkan tambahan tujuh lagi stesen yang sedang dalam penbinaaan dan dijangka beroperasi pada Mac 2016.

Selain aliran Ampang, sebanyak 12 stesen baharu bagi laluan Kelana Jaya akan beroperasi pada Jun 2016 melibatkan laluan sepanjang 17.4 kilometer.

Dalam pada itu Azmi berkata Prasarana menyediakan 7,000 tenaga kerja bagi operasi tren Makkah Metro di Makkah, Arab Saudi yang akan beroperasi buat pertama kali pada musim haji tahun ini.

"Tren Makkah Metro sepanjang 18 kilometer ini mampu menampung 3,600 jemaah haji dalam satu-satu masa," katanya.

Prasarana menjadi syarikat pengendali Makkah Metro yang diberi mandat oleh Kerajaan Arab Saudi untuk memastikan kelancaran pergerakan jemaah pada musim haji kali ini. -- Bernama


Prasarana, SPAD, Azmi Abdul Aziz

Artikel Lain