suria

Kira-Kira 10,000 Hadir Rumah Terbuka Shafie Apdal Di Semporna

Shafie Apdal

SEMPORNA: Kira-kira 10,000 masyarakat berbilang kaum hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, Ahad.

Antara yang hadir pada majlis yang bermula kira-kira 9 pagi itu ialah bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.

Bercakap kepada pemberita pada majlis itu, Mohd Shafie berkata, kemeriahan dan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama pada majlis rumah terbuka berkenaan membuktikan perpaduan antara kaum di negara ini sentiasa utuh.

"Ini adalah keunikan yang ada di negara kita apabila semua kaum hadir merayakannya bersama-sama dan ia menjadi tonggak perpaduan utama di Malaysia.

"Oleh itu saya berharap semua rakyat di negara ini bersama-sama mengukuhkan lagi perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama," katanya.

Sementara itu, beliau meminta pengamal media agar menyalurkan maklumat dengan tepat dan sahih, terutamanya berkaitan isu perpaduan kaum di negara ini."Jangan salurkan maklumat yang tidak tepat sehingga boleh merosakkan perpaduan kaum dan keharmonian negara," tegas beliau.

Pada masa sama Mohd Shafie turut berterima kasih kepada anggota pasukan keselamatan, khususnya yang bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan di Sabah.

"Ramai anggota pasukan keselamatan yang berkorban demi memastikan keselamatan negara terus terjamin. Pada musim perayaan mereka sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh semangat walaupun berjuahan dengan keluarga," katanya.-- Bernama

Aidilfitri, Semporna, Shafie Apdal

Artikel Lain