suria

Pemandu Lori Maut Ditembak Di Skudai

NUSAJAYA: Seorang pemandu lori maut ditembak dari jarak dekat di kawasan rumah flat di Taman Tan Sri Yaakob di Skudai, di sini malam Khamis, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata, mangsa K.Kirubanandan, 41, yang terkena beberapa das tembakan di kepala dan badan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam ketika mangsa baru sahaja pulang dari sebuah pasar borong berdekatan dan sedang meletakkan motosikalnya di bawah rumah flat berkenaan.

Katanya siasatan awal mendapati suspek menunggu mangsa di kawasan perumahan itu lebih awal telah keluar daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk menyerangnya sebelum melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan.

Polis menemukan lima kelongsong peluru bersaiz 9mm di tempat kejadian, katanya di sini Jumaat.

Noor Hashim berkata semakan polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, mayat mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak,  dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Katanya polis sedang menyiasat motif kejadian dan meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kejadian, tampil menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.


Artikel Lain