suria

Rumah Terbuka PM: Nasi Beriani Seri Perdana Jadi Tumpuan

MERIAH... Orang ramai beratur untuk mendapatkan juadah yang disediakan sempena rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana pada Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: 'Nasi Briyani Seri Perdana' mendapat sambutan hangat pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri tahun ini.

Ia merupakan antara puluhan juadah yang dihidangkan kepada ribuan orang  tetamu di Seri Perdana di sini iaitu kediaman rasmi perdana menteri.

Kelihatan orang ramai beratur panjang untuk menikmati masakan istimewa yang disediakan pengusaha Kuzie Katering, Pak Engku atau nama sebenarnya Raja Rosli Raja Mazlan.

Turut dihidangkan ialah sate, kebab ayam, laksa, soto, nasi himpit, lemang, ketupat, mee goreng mamak, roti john, buah-buahan dan lain-lain lagi.

"Pihak kami menyediakan 120,000 ketul ayam untuk Nasi Briyani Seri Perdana, 300,000 cucuk sate, 50,000 keping roti john dan 50,000 keping kebab," katanya.

Beliau berkata 200 tukang masak mulai memasak pelbagai juadah sejak Khamis.

"Kami mahu memastikan masakan adalah segar untuk pengunjung," kata Pak Engku dan menambah 500 pelayan disediakan untuk melayan tetamu.

Di Laman Sari, didapati khemah besar yang didirikan khas penuh sesak dengan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Seorang daripadanya Rohaiza Sulaiman, 40, berkata rumah terbuka ini merupakan peluang terbaik untuk orang ramai menikmati pelbagai juadah.

"Saya sentiasa menunggu untuk menghadiri rumah terbuka perdana menteri dan menteri kabinet yang lain. Suasana di sini macam karnival.

"Semua orang tanpa mengira kaum dan agama akan sentiasa tersenyum sambil  mengucapkan Selamat Hari Raya antara satu sama lain," katanya.

Bagi Muhammad Azlan Jantan yang turut membawa isterinya yang berkerusi roda berkata beliau sudah enam kali hadir ke rumah terbuka perdana menteri kerana beranggapan adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai rakyat untuk mengunjungi perdana menteri pada majlis seperti ini.

"Kami menyanjung perdana menteri yang bekerja kuat untuk mengekal perpaduan dan keamanan negara ini," katanya.

Pelancong asing turut kelihatan mengunjungi rumah terbuka ini dengan ada yang sanggup beratur bersama rakyat Malaysia seawal 6 pagi.

Steeve Dupre dari Perancis yang pertama kali mengunjungi rumah terbuka perdana menteri begitu teruja menjadi antara orang pertama dapat berjabat tangan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya sentiasa sukakan beliau dan dapat bertemu muka dengan beliau dan dapat berjabat tangan dengan beliau merupakan impian yang menjadi nyata," katanya.

Peter Mehlr dari Denmark pula menyifatkan sambutan Hari Raya sebagai menggambarkan kebersamaan dan perpaduan rakyat Malaysia.

"Saya dapati semua orang bergembira dan seronok bersama rakan dan anggota keluarga, walaupun di tengah-tengah cuaca panas. Bagi saya cara rakyat Malaysia menyambut Hari Raya adalah unik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain