suria

Salam Aidilfitri Shabery Cheek Kreatif, Bermakna

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tahun ini memilih pendekatan kreatif untuk menyampaikan salam lebarannya kepada rakyat Malaysia.

Melalui klip video pendek berwarna-warni yang diiringi muzik rancak berlatarbelakang bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke kawasan pantai di Parlimennya di Kemaman, Terengganu, Ahmad Shabery mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua rakyat Malaysia.

Namun, di sebalik klip video ringkas itu dengan iringan lagu 'Selamat Hari Raya' yang digubah semula Raja Sham dan lirik ditulis oleh Zaira Aziz, Ahmad Shabery sempat menyelitkan mesej penuh makna dengan turut menyarankan kepada rakyat Malaysia, walaupun terdapat perbezaan, semua haruslah sehati sejiwa dalam menyambut hari lebaran ini.

Beliau turut menyarankan kepada rakyat Malaysia supaya menjadikan 'Hari Raya menambah keindahan'.

Sementara bersama penduduk Kemaman, beliau berkata dalam loghat tempatan iaitu 'Lawa Malaysia, bila raya koho (bertambah) lawa'.

Klip video selama satu minit 39 saat itu dimulakan dengan landskap malam  ibu kota dengan gaya bersahaja Ahmad Shabery mengunjungi bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebuah kawasan membeli-belah cukup terkenal dalam kalangan orang tempatan dan pelancong terutama di musim perayaan dengan menjual pelbagai barangan termasuk baju dan kuih raya.

Beliau beramah mesra dengan peniaga serta warga kota dari pelbagai latar belakang yang membanjiri kawasan tersebut untuk membeli barangan persiapan Aidilfitri.

Video itu kemudian memaparkan Ahmad Shabery sedang bersantai dengan penduduk kampung di Kemaman.

Klip video tersebut boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=Qpcxa7bAkjE

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain