suria

Perutusan Aidilfitri: PM Gesa Rakyat Bersiap Siaga Hadapi Ancaman Dalaman & Luaran

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia supaya berwaspada dalam menghadapi kemungkinan ancaman dalaman dan luaran termasuk campur tangan kuasa asing untuk menggugat kestabilan dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu bersiap siaga dengan sepenuh kekuatan untuk berdepan dengan segala kemungkinan serta realiti semasa.

Beliau turut menggesa seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia supaya menghentikan perbuatan fitnah memfitnah sesama agama dan rakan sebangsa.

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri, beliau mengajak mereka supaya bersatu padu selain bersabar menghadapi ujian dan meneguhkan pendirian.

"Pada hari baik di Aidilfitri ini, marilah kita kembali kepada fitrah.Jernihkan hubungan yang telah layu, perkukuhkan persaudaraan yang hampir lesu," katanya dalam perutusan yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan, malam ini.

"Bukalah seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela silaturrahim 1Malaysia," kata Najib.

Dalam konteks lebih luas, beliau berkata Malaysia akan terus beristiqamah bagi membantu dan memperjuang nasib golongan yang tertindas di seluruh dunia, apatah lagi jika ia menimpa saudara seaqidah seperti yang berlaku di Palestin atau mana-mana sudut di arena global.

"Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, Malaysia turut bersimpati akan nasib malang kaum pelarian Rohingya dan berperanan dengan menawarkan bantuan-bantuan sewajarnya kepada mereka," katanya.

Selain itu, perdana menteri menegaskan Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Tunisia, Kuwait dan Perancis beberapa minggu lalu, angkara kumpulan militan IS yang mengakibatkan ramai terbunuh dan ratusan lain cedera.

Tindakan terkutuk itu, katanya, benar-benar bertentangan serta terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

"Sememangnya kita sentiasa mengutuk sebarang tindakan yang tidak berperikemanusiaan, waima dilakukan oleh sesiapapun tanpa mengira agama, keturunan dan sempadan geografi," kata Najib.


Lantaran itu, perdana menteri berkata kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan keselamatan dalam memastikan fahaman ekstrem seperti militan IS ini tidak merebak serta menular masuk ke negara ini.

Beliau berkata ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan - dalam erti kata tidak terlalu ekstrem dalam kefahaman, bukan pula sangat liberal atau longgar akidah dalam beragama.

Najib seterusnya menarik perhatian bahawa umat Islam di beberapa negara lain sedang bergelut menempuh rintangan dan negara ini pula berdepan dengan pelbagai cabaran dan musibah yang tidak terduga.

Namun, ia tidak menghalang masyarakat Islam di Malaysia untuk tetap merayakan Aidilfitri dengan keriangan dan penuh kemeriahan tanpa diganggu oleh sesiapa, kata perdana menteri.

Menurutnya, ini semua hanya boleh berlaku sekiranya negara ini ditadbir dan diurus melalui kepimpinan yang cekap dan berkesan.

Najib berkata sebab itulah baru-baru ini Fitch Ratings, sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa, telah meningkatkan unjuran Malaysia daripada negatif kepada stabil.

Ini sekali gus meletakkan Malaysia pada asas ekonomi yang kukuh dan berada di landasan betul dalam usaha menuju status negara ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang menjelang 2020, katanya.

Di sebalik pencapaian itu, Najib berkata beliau mendengar dan amat memahami keluh kesah rakyat terutama berhubung kos sara hidup yang kian meningkat, yang ditangani kerajaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menringankan beban kehidupan mereka.

"Berkaitan hal ini, rakyat patut membuat aduan terhadap mana-mana peniaga yang mengenakan harga tidak berpatutan dan mengaut keuntungan berlebihan," tegasnya.

Merujuk kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 baru-baru ini, beliau berkata ia turut menekankan tentang keperluan membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah iaitu B40.

Namun, perdana menteri berkata beliau mengambil maklum bahawa ini semua masih belum mencukupi.

"Yakinlah bahawa apabila hasil pendapatan negara bertambah, kerajaan akan terus mencari jalan untuk melakukan lebih banyak lagi inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Najib berkata ini semua dilakukan ketika Malaysia semakin dikenali sebagai sebuah negara Islam progresif dan menjadi contoh bagi kalangan negara membangun dan negara Islam lain.

Tambah mengukuhkan kedudukan itu ialah pelancaran Indeks Syariah Malaysia pada 10 Feb lepas.

Beliau menyifatkan indeks itu sebagai produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara.

"Ia menjadi satu kaedah pengukuran saintifik bagi menentu ukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip Maqasid Syariah," jelas Najib.

Sebelum mengakhiri perutusan itu, Najib mengajak semua rakyat dalam merakamkan takziah dan simpati kepada mereka yang pernah ditimpa bencana.

"Ingatan ini juga dipanjangkan kepada anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan atau di mana-mana inci bumi bertuah ini," katanya sambil menyatakan ia turut ditujukan kepada wira-wira tidak didendang yang mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara.

Artikel Lain