suria

Memelihara Tradisi Menghasil Isi Kabung

REZEKI RAMADAN...Siti Aminah Awang Tengah, 71, (kanan) melakukan proses memecahkan buah kabung untuk mendapatkan isinya ketika ditemui di Kampung Rambong, Batu 7, Baling. Pokok Buah Kabung yang sukar ditemui kerana pokoknya hidup meliar di kawasan berbukit digunakan oleh penduduk tempatan untuk dicampur dalam minuman manis. Aminah menjadikan buah tersebut sebagai sumber rezeki sempena Ramadan. -fotoBERNAMA
BALING: Isi buah kabung merupakan bahan campuran dalam minuman yang melazatkan.

Namun bahan keluaran tradisional ini kurang mendapat tempat di restoran-restoran besar.

Ia setakat dijaja di gerai-gerai dan warong.

Isi buah berwarna jernih dan kenyal, sebesar biji anggur ini enak dimakan bila dicampur dalam ais kacang, cendol, minuman kordial, atau, satu ketika dulu, dalam ais kepal (ais batu campur).

Sekalipun tidak ada usaha pihak tertentu mempopularkan bahan makanan ini, ia terus muncul di pasaran terutama ketika Ramadan untuk dijadikan bahan berbuka puasa. 

Semuanya kerana masih ada orang tua-tua di kampung yang setia menghasilkan bahan makanan ini.

Seorang daripada mereka Siti Aminah Awang Tengah, 71.

Siti Aminah menunjukkan isi buah kabung yang telah diproses untuk dicampur dalam minuman manis.


Berkat usahanya, Siti Aminah meraih pendapatan kira-kira RM1,000 setiap Ramadan.

Pokok kabung atau nama botaninya "Arenga Pinnata" tumbuh liar di kawasan berbukit, tetapi disebabkan pembangunan pesat sektor pertanian dan pencerobohan hutan yang berleluas, pokok itu kini diancam kepupusan.

Menceritakan proses menghasilkan isi buah kabung, Siti Aminah berkata: "Prosesnya rumit dan pokok kabung jarang ditemui di pinggir kampung.

"Di tempat saya terdapat di sekitar Kampung Rambong," katanya.

Pokok Buah Kabung sukar ditemui kerana pokoknya hidup meliar di kawasan berbukit.


Menurutnya, buah kabung yang dipetik direbus selama tiga jam untuk mendapatkan isinya yang lembut.

"Selepas itu, buah kabung dibiarkan sejuk, sebelum bahagian kepala buah itu dipotong dan dikapit bagi mengeluarkan isinya yang lembut.

"Isi buah kabung yang siap diproses perlu direndam dalam air bersih sekurang kurangnya tiga hari sebelum boleh dijual.

"Saya menjual sebungkus isi buah kabung RM2.00 di gerai pasar Ramadan di pekan Baling," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain