suria

Mesyuarat Perancangan Gerakan Kebangsaan Akan Bincang Agih Tugas Di Sempadan

KOTA BARU: Mesyuarat Perancangan Gerakan Kebangsaan bagi membincangkan pengagihan tugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berlangsung pada 1 Julai.

Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin berkata beliau dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa itu yang dikelolakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Zulkifeli berkata dalam mesyuarat itu, pihaknya akan mengadakan rundingan sama ada akan mengambil alih sepenuhnya kawalan sempadan Malaysia-Thailand daripada PDRM atau akan melakukan pembahagian tugas dengan agensi itu.

"(Menerusi mesyuarat itu) kami harap dapat memuktamadkan (beberapa perkara berhubung kawalan sempadan) dan diserahkan kepada kabinet," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Panglima Angkatan Tentera bersama Perajurit- perajurit 8 briged di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas di sini Khamis malam.

Hadir sama Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mej Jeneral Datuk Azizan Md Delin; Panglima 2 Divisyen, Mej Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar; Panglima 8 Briged Infantri, Datuk Azmy Yahya dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Datuk Makhtar Mustapha.

Zulkifeli berkata bagi pihak ATM, beliau telah mengadakan perbincangan mengenai pelan yang akan dilaksanakan oleh agensi itu jika diberi tanggungjawab mengawal sepenuhnya sempadan Malaysia-Thailand nanti.

"Jika ATM ambil alih sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, ini bererti keseluruhan sempadan Malaysia dengan Thailand akan dikawal selia oleh ATM kerana sempadan negara di Perlis kini dijaga oleh Pasukan Gerakan Am (PGA)," katanya.

Majlis berbuka puasa bersama kira-kira 700 pegawai dan anggota tentera di bawah naungan 8 Briged Infantri merupakan formasi pertama yang dilawati Zulkifeli pada Ramadan ini.-- Bernama

MKN, Panglima Angkatan Tentera, PDRM

Artikel Lain