suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM2 Juta, Tahan Enam Warga Afrika

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Rabu. -foto THESTAR/Muhamad Shahril Rosli
KUALA LUMPUR: Operasi membanteras sindiket pengedaran dadah rentas sempadan oleh Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman terus cemerlang dengan rampasan terbaru dadah jenis syabu dan kokain bernilai RM2 juta.

Dua siri operasi pada Isnin dan Selasa itu merekodkan rampasan dadah jenis kokain seberat 7.43kg dan syabu seberat 1.83kg dengan tangkapan enam warga Afrika berusia 27 hingga 37 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan itu turut menyita dua buah kereta bernilai RM65,000.

Bercakap dalam sidang media pada Rabu, katanya polis menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki warga Afrika di MRR2 dan merampas 292 ketul dadah dipercayai kokain dalam operasi pertama pada kira-kira 6.30 petang Isnin.

"Serbuan susulan di sebuah rumah di Sri Damansara di sini kira-kira pukul 9.30 malam, polis menahan dua lagi lelaki warganegara Afrika dan merampas dadah dipercayai syabu dan kokain.

"Dadah yang dirampas ada di antaranya disorok dalam bungkusan plastik coklat dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas seberat 8.26kg (kokain 7.43kg, syabu 0.83kg) bernilai RM1.8 juta," katanya.

Mohd Mokhtar berkata dadah berkenaan dipercayai untuk dieksport ke Kanada dan Thailand. 
Dalam operasi kedua kira-kira pukul 1 tengah hari semalam di sebuah pangsapuri kos rendah di Bandar Damai Perdana, Cheras, di sini, polis merampas sebanyak 20 ketulan dadah jenis syabu yang disorok di dalam 20 Kamera Litar Tertutup (CCTV).

"Pada serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga Afrika ... tindakan susulan kita jalankan serbuan di sebuah rumah di Laman Rimbunan Kepong dan menahan seorang pelajar kolej swasta warga Afrika.

"Nilai rampasan dadah seberat 1kg ini ialah RM200,000 dan kita sita dua buah kereta bernilai RM65,000 iaitu Toyota Vios dan Toyota Corona," katanya.

Menurutnya sindiket itu dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup masuk dadah dari China ke negara ini.

Mohd Mokhtar berkata empat daripada enam warga Afrika yang ditahan memiliki passport manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah. 

"Kita akan semak dengan Jabatan Imigresen untuk melihat sama ada pasport ini sah atau sebaliknya. Selain itu, kita juga akan menyiasat sama ada kedua-dua sindiket ini mempunyai kaitan," tambahnya.

Beliau berkata kedua-dua kejayaan itu merupakan hasil kerjasama erat perkongsian maklumat risikan antara JSJN dan Biro Pembanterasan Narkotik Polis  Thailand dan Kawalan Narkotik Kebangsaan China, dan Sting akan mempertingkatkan operasi di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain