suria

Timbalan Menteri Tegur Guru Gurauan 'Air Kencing'

P.Kamalanathan
PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan menegur tindakan guru sekolah rendah berhubung gurauan 'air kencing' yang menimbulkan kemarahan pelajar dan ibu bapa.

Walaupun mengakui kenyataan itu bertujuan jenaka, Kamalanathan berkata ia bagaimanapun tidak boleh diterima, terutama apabila ia melibatkan pelajar.

"Saya dimaklumkan bahawa guru itu menggunakan perkataan itu secara berseloroh tanpa berniat untuk menyakiti hati pelajar. Walau bagaimanapun, apabila berdepan dengan pelajar, penggunaan kenyataan seperti itu TIDAK DITERIMA," Kamalanathan menulis di laman rasmi Facebook beliau pada malam Isnin.

"Guru harus sedar kemungkinan akibat buruk yang akan diterima lebih-lebih lagi dengan pelajar," katanya.

Guru berkenaan telah memberitahu murid bukan Islam dalam satu perhimpunan bahawa mereka boleh minum air kencing sendiri sekiranya tidak mempunyai air minuman.

Guru lelaki yang bertanggungjawab dari segi hal ehwal murid itu berkata demikian kepada murid bukan Islam supaya hanya boleh minum di tandas dan bukan di dalam kelas semasa bulan puasa.

Dia bagaimanapun dilaporkan bertindak keterlaluan dengan mengatakan bahawa mereka yang tidak membawa air minuman boleh meminum air dari paip atau jika tidak, minum air kencing mereka sendiri.

Sekolah ini telah mengadakan satu perhimpunan khas di pada pukul 11.15 pagi Isnin untuk menjelaskan perkara itu.

Pihak polis juga akan menyiasat perkara itu selepas 12 laporan dibuat oleh ibu bapa.

Guru yang terlibat juga telah membuat laporan polis mendakwa menerima ugutan.

"Setelah selesai siasatan polis, tindakan yang sewajarnya akan diambil untuk memastikan kejadian tersebut tidak berulang dan juga sebagai peringatan kepada guru-guru untuk peka bagaimana untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar mereka," kata Kamalanathan.

Artikel Lain