suria

"Perhitungan Hidup Mati Dalam PAS" - Salahuddin

Salahuddin hanya akan mengumumkan pendirian sama ada menerima pelantikan sebagai AJK PAS Pusat selepas sambutan Aidilfitri.

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan keputusan sama ada menerima atau menolak pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merupakan 'perhitungan hidup mati' karier politiknya dalam parti Islam itu.

Mengakui masih belum memberi kata putus terhadap pelantikannya itu, beliau yang tewas pada pemilihan PAS pada awal bulan ini mendedahkan turut menerima 'ancaman' berhubung keputusan yang bakal dibuatnya nanti.

"Saya masih belum menjawab secara rasmi tetapi beberapa jam yang lalu telah riuh rendah di media baru tentang berita pelantikan saya ke AJK Pusat. Keputusan yang bakal saya buat adalah perhitungan hidup mati karier saya dalam PAS.

"Ada yang memberi nasihat dan memujuk. Ada yang memberi amaran dan ancaman memutuskan persahabatan. Kesian saya," kata Salahuddin menerusi catatannya di Facebook.

Pada Ahad, Timbalan Presiden PAS yang baharu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan pelantikan lapan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2015-2017.

Selain Salahuddin, dua lagi calon kumpulan progresif yang tewas dan dilantik untuk menganggotai AJK PAS Pusat ialah Datuk Mahfuz Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata beliau akan menyatakan pendirian berhubung pelantikkan ke jawatan itu selepas sambutan Aidilfitri Julai depan.

"Sudahlah sebelum muktamar ditohmah fitnah, dah kalah pun kena belasah lagi. Tapi saya tak boleh marah-marah. Itulah asam garam dunia politik yang saya telah pilih dengan jiwa raga saya.

"Saya akan membuat keputusan dalam masa yang terdekat, mungkin selepas kita menyambut Syawal yang mulia," katanya.

Salahuddin Ayub, PAS

Artikel Lain