suria

Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan 'Kunci Mulut'

Kepimpinan baharu AJK PAS Pusat bagi sesi 2015-2017.

PETALING JAYA: Seorang lagi calon yang tewas dalam pemilihan PAS pada awal bulan ini, Mohd Taufek Abdul Ghani memilih untuk 'mengunci mulut' mengenai pelantikannya ke jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sei 2015-2017.

Mengakui belum menerima surat pelantikan, bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu berkata beliau enggan memberi sebarang komen mengenai tawaran berkenaan.

Mohd Taufek Abdul Ghani

"Saya tak boleh komen apa-apa lagi buat masa ini, surat pun belum tengok lagi. Saya hanya tahu mengenai perkara ini melalui media.

"Maaf lah, dah dapat surat saya boleh komen," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Ditanya sama ada beliau sudah membuat pertimbangan awal mengenai masa depannya dalam politik, Mohd Taufek bagaimanapun hanya membalas pertanyaan itu dengan ketawa kecil.

"Tunggulah...tunggu dulu, bagi masa," katanya ringkas.

Pada Ahad, Timbalan Presiden PAS yang baharu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan pelantikan lapan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2015-2017.

Selain Mohd Taufek, dua lagi calon kumpulan progresif yang tewas dan dilantik untuk menganggotai AJK PAS Pusat ialah Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Menurut Tuan Ibrahim surat pelantikan kepada semua lapan AJK yang dilantik itu sudah dihantar sejak minggu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain