suria

Penggerak Militan IS Ditangkap Di KL

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang berasal dari Afrika utara berusia 31 tahun ditahan selepas menggerakkan operasi pengganas Negara Islam (IS) di Malaysia selama setahun.

Lelaki itu yang memasuki negara ini menggunakan visa pelajar palsu pada Mac tahun lepas yang diperolehi daripada sindiket visa yang beroperasi di Lembah Klang.

Sumber mendedahkan bahawa suspek membeli visa palsu tersebut dengan harga RM5,500.

"Ini adalah modus operandi baharu untuk ahli-ahli IS. Daripada kembali ke negara asal mereka, kumpulan pengganas ini akan ke negara ketiga seperti Malaysia atas beberapa sebab," demikian menurut sumber pada Sabtu.

Antara sebab penubuhkan pangkalan operasi ialah mereka akan menjadi orang tengah kepada penggerak lain termasuk bagi menarik lebih ramai keanggotaan.

"Pihak berkuasa mendapati suspek menyewa di sebuah apartmen di Gombak.

"Dia telah mendaftar untuk belajar di sebuah universiti awam tetapi gagal menghadiri kelas. Sebaliknya, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai tukang masak dan tukang urut," kata sumber itu lagi kepada The Star.

Suspek juga didakwa adalah seorang kasanova dan cuba memperdaya ibu tunggal bagi memperoleg visa.

"Sekurang-kurangnya dua ibu tunggal telah tergoda olehnya," kata sumber berkenaan lagi.

Lelaki yang ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman pada 9 Jun lalu juga tersenarai sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Afrika utara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek sebelum ini ditahan di negara asalnya kerana terlibat dalam aktiviti keganasan pada tahun 2007.

"Beliau ditahan selama dua tahun. Kemudian pada tahun 2013, lelaki itu pergi ke Syria untuk menyertai IS," katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah beliau, suspek dihantar pulang ke negara asalnya pada Rabu.

Militan, Negara Islam (IS)

Artikel Lain