suria

Keunikan Sambutan Ramadan Di Indonesia

Upacara nyadran dilakukan di kawasan perkuburan pada Ramadan.

JAKARTA: Ramadan tiba lagi dan umat Islam di seluruh dunia gembira menyambut ibadah puasa, satu daripada lima rukun Islam.

Seperti di Malaysia, negara jiran Indonesia, negara Islam terbesar di dunia dengan penduduk seramai 255 juta orang, juga menyaksikan pelbagai aktiviti untuk menyambut Ramadan.

Akhbar dan media lain di negara ini melaporkan pelbagai tradisi yang diamalkan bagi menyambut ketibaan Ramadan dan menyempurnakan ibadah puasa.

Misalnya seminggu menjelang Ramadan, masyarakat Jawa akan mengadakan 'nyadran' iaitu majlis makan bersama sanak saudara di kawasan perkuburan.

Mereka akan mengumpul sanak saudara masing-masing menziarah kubur dan menganjurkan tahlil serta berdoa kepada kaum keluarga yang telah meninggal dunia.

Di Kulon Prago, Jogjakarta, nyandran disambut meriah dengan mengadakan perarakan membawa makanan menuju tanah perkuburan dengan niat membersihkan diri dan pada masa yang sama memberi makanan kepada golongan kurang mampu.

MASYARAKAT MINANG MEMULAKAN DENGAN MANDI

Menurut media Sumatera Barat, umat Islam di Padang menganjurkan 'mandi balimau' di sungai sehari sebelum Ramadan untuk membersihkan diri dan sebagai persediaan menyambut bulan puasa.

Kebanyakan mereka yang mengamalkan tradisi ini berasal daripada masyarakat Minang di mana mereka akan mandi beramai-ramai di sungai serta membersihkan badan dengan limau nipis.

Ribuan orang akan menuju Lubuk Minturun di Daerah Koto Tangah dan Sungai Lubuak Paraku di Daerah Lubuak Kilangan untuk bermandi-manda.

Sementara itu di Semarang, Jawa Tengah, masyarakatnya dilaporkan akan menganjurkan 'dugderan', terutama di Kota Semarang.

Kemuncak perayaan adalah pada malam hari diadakan upacara membakar mercun dan bunga api serta persembahan kebudayaan.

Permainan rakyat yang dipanggil 'warak ngendok' iaitu pertandingan merekacipta replika binatang yang berkepala naga diadakan di samping jualan seperti pasar malam. 

Acara sambutan diselang seli dengan unsur dakwah mengajak umat Islam memperbanyakkan ibadah sempena bulan Ramadan. 





LAIN PULA DI BALI



Pada setiap 10 Ramadan di Bali, masyarakatnya tanpa mengira fahaman agama akan menyertai majlis berbuka puasa 'megibung' di Denpasar.
Masyarakat Kampung Islam Kepaon masih menjalankan tradisi megibung iaitu makan beramai-ramai dalam bekas beralas daun pisang.
Di Kalimantan Selatan, terdapat aktiviti mengejutkan orang untuk bersahur yang dikenali sebagai 'bagarakan'. 
Golongan muda akan berarak sambil memukul pelbagai alat dan menyanyikan lagu berunsur dakwah untuk mengejutkan orang bangun bersahur. 
Biasanya pada malam 21 Ramadan, bagarakan dimeriahkan dengan perarakan kereta berhias 'bagarakan tanglong'. 
Dan terdapat banyak lagi cara yang diamalkan masyarakat tempatan dalam menyempurnakan rukun Islam ini. Semuanya unik selaras dengan amalan hidup mereka tetapi yang jelas semangat Ramadan tidak dilupakan. 
-- Bernama

Ramadan, Indonesia, Bali, nyadran

Artikel Lain