suria

Kerbau Dikorbankan Untuk Ritual Di Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Kerbau akan dikorbankan sebagai sebahagian daripada ritual untuk menenangkan roh-roh Gunung Kinabalu dalam satu perhimpunan serentak yang diadakan di kaki bukit gunung itu awal hari Sabtu.

Setiausaha Kerja Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA),  Benedict Topin berkata ritual monolob itu akan diadakan di Taman Kinabalu, Kundasang dan di Mamut, Ranau kira-kira pukul 8 pagi.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Richard Soibi berkata upacara di Taman Kinabalu akan diadakan di kawasan terbuka berhampiran pintu gerbang Timpohon di kaki gunung.

Katanya, kerbau akan disembelih ketika upacara ritual yang akan dijalankan oleh Bobolian (pawang Kadazandusun), sambil menambah majlis tersebut dianjurkan oleh penduduk di Kampung Bundu Tuhan, yang terletak bersebelahan dengan Taman Kinabalu.

Selepas penyembelihan kerbau, Bobolian akan menyerahkan bahagian organ haiwan kepada dua malim gunung berpengalaman yang akan membawanya ke lokasi di atas gunung.

Kerbau yang disembelih kemudian akan dilapah dan dagingnya yang telah dimasak akan dikongsi di kalangan mereka yang menghadiri upacara itu.

Benedict berkata upacara monolob di Mamut, di mana tujuh ekor kerbau dikorbankan, telah dianjurkan oleh penduduk dari seluruh kawasan itu.

Masyarakat etnik Lotud mengadakan upacara serupa untuk menenangkan semangat gunung pada Selasa.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga pemimpin agung Kadazandusun berkata Gunung Kinabalu, yang dianggap suci bagi masyarakat pribumi Sabah, telah dirosakkan oleh 10 warga asing yang berbogel di atas gunung itu pada 30 Mei.

Hanya seminggu kemudian, gempa bumi magnitud 5.9 menggegarkan Gunung Kinabalu, menyebabkan 18 orang, termasuk empat malim gunung terbunuh.

Artikel Lain